Tour of The Albatross File Exhibition at the Singapore National Library
Tiga hari program rasmi di Singapura, saya tidak melepaskan peluang untuk melihat sendiri pameran The Albatross File: Singapore’s Independence Declassified yang berlangsung di Perpustakaan Negara Singapura.
Pameran ini mendokumentasikan perjalanan menuju kemerdekaan Singapura pada tahun 1965 menerusi himpunan dokumen kerajaan yang telah dinyahklasifikasikan, kertas Kabinet, catatan peribadi, gambar arkib dan rakaman sejarah lisan yang dipelihara selama beberapa dekad sebelum dibuka kepada tatapan umum.
Apa yang paling menarik perhatian saya bukan sahaja kandungan sejarah yang dipamerkan, tetapi komitmen Singapura dalam memelihara memori institusi dan rekod negara. Dokumen-dokumen penting ini bukan sekadar disimpan di arkib, malah dikaji, diterbitkan dalam bentuk buku yang terperinci, dan akhirnya diterjemahkan menjadi sebuah pameran interaktif yang membolehkan pengunjung menghayati sejarah dengan lebih mendalam.
Saya juga kagum dengan cara teknologi terutama ‘Generative AI’ dimanfaatkan untuk menghidupkan bahan-bahan arkib yang berusia puluhan tahun. Melalui gabungan elemen visual, multimedia dan pengalaman interaktif, sejarah disampaikan dengan lebih menarik, mudah difahami dan dekat dengan generasi muda. Dalam hal ini, saya percaya kita juga boleh mempelajari satu dua perkara tentang bagaimana rekod dan arkib negara dipelihara, didokumentasikan serta dipersembahkan kepada masyarakat dengan pendekatan yang lebih kreatif dan berimpak tinggi.
Pameran ini menunjukkan bahawa arkib mempunyai peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar menyimpan rekod masa lalu. Ia menjadi khazanah ilmu yang merakam pengalaman, pertimbangan dan proses membuat keputusan yang membentuk sesebuah negara. Melalui usaha pendokumentasian yang sistematik, generasi hari ini dan akan datang berpeluang memahami cabaran, kerumitan serta pilihan-pilihan penting yang telah menentukan haluan pembangunan negara.
Dalam dunia yang semakin kompleks, usaha memelihara rekod dan pengetahuan institusi menjadi semakin penting. Sejarah bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk dijadikan pedoman dalam membina masa depan yang lebih baik.
Tahniah kepada National Library Board Singapura dan semua pihak yang terlibat atas usaha memastikan lembaran penting sejarah negara terus dipelihara, diakses dan dihayati oleh generasi akan datang.










