Tinjauan Kerja Pembinaan Kompleks Islam Wira Damai
Dari Batu Caves, saya singgah di Kampung Wira Damai untuk meninjau perkembangan pembinaan Kompleks Islam Wira Damai yang mula dibangunkan pada tahun 2024.
Alhamdulillah, setakat ini hampir 50 peratus kerja pembinaan telah berjaya disiapkan. Apabila siap kelak, kompleks ini mampu memberi manfaat kepada hampir 3,000 jemaah di kawasan sekitar dengan menyediakan ruang ibadah yang lebih luas dan selesa.
Projek Kerajaan Negeri menerusi Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) ini dibangunkan di atas tanah seluas 4.249 hektar dan dijangka siap pada awal tahun 2027.
Selain menjadi tempat beribadah, Kompleks Islam Wira Damai akan berperanan sebagai pusat pembangunan ummah dan kegiatan komuniti setempat, sekali gus menyediakan kemudahan yang lebih baik bagi menggantikan Masjid An-Nur Kampung Wira Damai yang kini semakin padat.
Insya-Allah, semoga pembinaan kompleks ini berjalan lancar dan apabila siap nanti, dapat memberi manfaat yang besar kepada umat Islam serta masyarakat di sekitar Gombak.











