Inisiatif

Peristiwa
22/2/26
Isu
Selangor
Negara

Tinjauan Isu Pencemaran Bau di Sungai Kabul, Semenyih

Petang tadi saya telah turun ke Kampung Sungai Sematar di Beranang selepas insiden pencemaran bau dikesan di Sungai Kabul, Semenyih.

Insiden yang dikesan sejak 19 Februari berlaku akibat tindakan tidak bertanggungjawab daripada dua kilang telah merisikokan perkhidmatan bekalan air kepada hampir 1 juta penduduk di selatan Selangor.

Alhamdulillah, tindakan pantas oleh pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor telah mengaktifkan Sistem Jaminan Air Mentah (SJAM) untuk mengelakkan gangguan bekalan air kepada penduduk di sekitar Semenyih.

Operasi pembersihan telah giat dilaksanakan bagi menyedut limpahan minyak pekat serta efluen yang mengalir dari kilang yang melaksanakan aktiviti kitar semula bahan plastik ke Sungai Kabul melalui saliran monsun.

Kerja-kerja pembersihan bermula sejak jam 2:30 petang pada 19 Februari hingga sekitar jam 4:30 petang pagi ini, 22 Februari.

Tanpa sistem SJAM, penduduk sekitar kawasan Semenyih mungkin terpaksa mengharungi selama 62 jam tanpa bekalan air ke rumah-rumah.

Alhamdulillah, langkah Kerajaan Negeri untuk membina SJAM telah meningkatkan daya tahan sistem perkhidmatan bekalan air supaya tidak mudah terdedah kepada risiko pencemaran.

Saya juga telah mengarahkan LUAS untuk menyegerakan tindakan undang-undang selaras dengan Enakmen LUAS 1999 supaya pesalah akan dikenakan hukuman agar perkara ini tidak berulang lagi di masa hadapan.

Saya merakamkan ucapan terima kasih atas komitmen dan tindakan pantas kepada lebih 100 anggota dan pegawai yang terlibat dalam operasi ini termasuk LUAS, Air Selangor, IWK, Majlis Perbandaran Kajang, Jabatan Alam Sekitar sejak 19 Februari.

Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba menjejaskan kehidupan rakyat negeri Selangor khususnya berkait sistem perkhidmatan bekalan air.

No items found.
Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.