Inisiatif

Peristiwa
6/10/22
Selangor
Bantuan

Sinar Harian: YIDE lancar kempen bulan anak yatim

SEKINCHAN - Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) melancarkan kempen bulan anak yatim sempena Rabiulawal bagi memperingati peristiwa penting kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Pengerusinya, Tan Sri Mazlan Mansor berkata, penting umat Islam memuliakan anak yatim sama seperti sejarah kelahiran Rasulullah.

Jelas beliau, penganjuran itu akan diadakan secara tahunan bagi memupuk kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga anak yatim.

"Program bulan anak yatim ini adalah kali kedua diadakan oleh YIDE dan ia telah disusun oleh sekretariat bertanggungjawab dengan mengadakan beberapa program bermula pada 28 September lalu bersamaan 1 Rabiulawal," katanya pada Pelancaran Kempen Bulan Anak Yatim di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Rabu.

Mazlan memberitahu, antara program dirancang sempena Rabiulawal seperti tazkirah khas Maghrib yang akan disampaikan oleh beberapa pendakwah terkenal tanah air di lapan lokasi masjid terpilih.

“Selain itu juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE (ALPA YIDE) turut akan bersama turun padang melawat beberapa rumah kebajikan anak yatim seliaan YIDE dan rumah anak yatim yang tinggal bersama penjaga dalam menyampaikan sumbangan dan melaksanakan ziarah mahabbah," ujarnya.

Selain itu, pengisian program lain antaranya mengumpulkan lebih 500 anak yatim di seluruh Selangor untuk menghadiri seminar khas anak yatim yang akan disampaikan oleh beberapa panel jemputan antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan juga Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) Negeri Selangor.

Sehubungan itu, katanya, YIDE menzahirkan penghargaan terima kasih kepadaMenteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang sentiasa memberikan sokongan kepada YIDE dalam menganjurkan program bulan anak yatim.Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, kerjasama terjalin itu diharap dapat diteruskan untuk tahun berikutnya dan menjadi agenda utama kerajaan negeri termasuk penganjurannya dijadikan sebagai kalendar tahunan.

"Program bulan anak yatim ini diharapkan akan menjadi titik permulaan yang baik bagi masyarakat untuk terus memberikan perhatian kepada anak yatim khususnya dari sudut sokongan moral seperti emosi dan sebagainya," katanya.

Sehubungan itu, katanya, YIDE mengajak orang ramai untuk bersama-sama memberi sokongan bagi menjalankan bulan anak yatim dengan mengikuti setiap program dilaksanakan khususnya di laman media sosial rasmi Facebook YIDE dengan kata carian YIDE4all.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.