Inisiatif

Terkini
1/12/22
Isu
Selangor

Sinar Harian: Selangor tawar subsidi rawatan psikiatri

SHAH ALAM - Selangor merupakan negeri pertama memperkenalkan fungsi kesihatan mental digital yang diintegrasikan dalam aplikasi teknologi kesihatan, Selangkah yang dilancarkan pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, selepas dilancarkan lebih 60,000 rakyat di negeri berkenaan menjalani saringan awal kesihatan mental.

Selain itu, menurut Siti Mariah, khidmat talian sokongan psikososial menerusi Selangor Mental Sihat (Sehat) dalam aplikasi Selangkah pula memberikan manfaat kepada 312 pemanggil terdiri daripada rakyat Selangor dan dari luar negeri itu.

"Melalui kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pakar-pakar psikiatri Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) dan klinik SELCARE, kerajaan negeri menawarkan sebanyak 700 slot rawatan disubsidi dengan peruntukan berjumlah RM222, 600.

"Kerajaan Selangor akan menanggung kos saringan, caj konsultasi bersama pakar psikiatri, rawatan psikoterapi asas dan rawatan ubat-ubatan bagi dua minggu pertama," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Siti Mariah berkata, rakyat Selangor yang ingin mendapatkan insentif subsidi kesihatan mental perlu melengkapkan saringan awal di aplikasi Selangkah terlebih dahulu.

"Berdasarkan kelayakan ujian saringan awal, pemohon boleh menetapkan pilihan klinik Selcare di aplikasi Selangkah bagi menjalani saringan kedua dan pemohon layak akan dirujuk kepada pakar psikiatri bagi menjalani intervensi lanjut," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri berharap agar insentif subsidi rawatan psikiatri itu dapat melengkapi usaha kerajaan persekutuan dalam menangani masalah kesihatan mental, mengurangkan beban klinik psikiatri di hospital kerajaan serta memberikan akses alternatif lebih cepat kepada rakyat Selangor memerlukan intervensi terutama golongan B40.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.