Inisiatif

COVID-19
19/7/21
Isu
Selangor

Sinar Harian: Selangor guna kaedah baharu percepat suntikan vaksin penghuni perumahan

KLANG - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menggunakan kaedah baharu dengan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada penghuni taman perumahan yang mencatat kadar jangkitan tinggi akibat terkesan dengan wabak tersebut.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin berkata, melalui kaedah itu, pihaknya akan melakukan saringan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri ini dan mengasingkan serta memberikan suntikan vaksin kepada mereka yang masih tidak mendapat janji temu suntikan vaksin dalam aplikasi MySejahtera.


“Cara sama digunakan di kawasan yang tidak dikenakan PKPD, yang mana kita masih buat ujian saringan, kemudian mereka yang yang dijangkiti virus Covid-19 akan diasingkan dan kita beri suntikan vaksin kepada mereka yang tidak dijangkiti wabak itu.


“Kaedah ini akan dijalankan mengikut kesesuaian yang mana kawasan perumahan tersebut perlu ditempatkan berdekatan dengan dewan serbaguna yang boleh dijadikan pusat pemberian vaksin," katanya selepas meninjau Program Vaksinasi di Pusat Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia Cawangan Klang, di sini pada Ahad.

Menurut Amirudin, kaedah itu diguna pakai ekoran ia pernah dilaksanakan di Taman Seruling di sini.

"Taman Seruling pernah mencatatkan kes Covid-19 tinggi sebanyak 100 kes sebulan dan pernah disaran untuk dilaksanakan PKPD.

"Namun begitu, kes Covid-19 mulai menurun di saat PKPD ingin dilaksanakan di kawasan tersebut, lantas JKNS menerusi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang bertindak memberikan suntikan vaksin kepada individu yang tidak dijangkiti virus tersebut selepas ujian saringan dibuat," katanya.

Amirudin berkata, tambahnya, sekitar 1,600 penduduk di situ akan menerima suntikan vaksin yang mana ia merupakan pendekatan baharu yang dilakukan oleh JKNS dan PKD sebagai inisiatif untuk melindungi sesebuah lokaliti yang terkesan akibat penyebaran wabak Covid-19.

"Selepas ini, kami akan ke kawasan PKPD seperti di Pangsapuri Bukit Tinggi 1, Bandar Bukit Tinggi di sini untuk menggunakan kaedah sama bagi mempercepatkan proses vaksinasi," katanya.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.