Suara

COVID-19
26/1/21
Isu
Selangor
Bantuan

Sinar Harian: PKPS jual ayam serendah RM5, RM10

Berita terbit di sinarharian.com.my pada 26 Januari 2021

BATU CAVES - Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengadakan program jualan ayam pada harga subsidi secara berperingkat bermula Ahad di seluruh Selangor.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program di bawah Ayam PKPS Prihatin itu menawarkan harga serendah RM5 bagi ayam seberat 1.2 kilogram (kg) hingga 1.5kg dan RM10 bagi berat ayam 1.6kg hingga 1.8kg berbanding RM7.80 sekilogram di pasaran.

Menurutnya, pada peringkat permulaan, jualan akan diuruskan oleh pusat khidmat dan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.


“Jualan ayam subsidi ini tidak akan dijual secara terus kepada orang awam sebaliknya melalui pusat khidmat yang akan membuat serahan kepada rakyat sebagai sebahagian barangan dalam bakul makanan.

“Di DUN Sungai Tua, kita tambah ikan dan sayuran. Seramai 1,000 keluarga menerima sumbangan bakul makanan yang akan diagihkan oleh ketua komuniti,” katanya ketika meninjau pusat agihan bakul makanan di padang awam Batu Caves di sini pada Ahad.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Sungai Tua (ADUN) Sungai Tua menganggarkan lebih 3,000 ayam diagihkan menerusi program serahan yang turut dilaksanakan di DUN Gombak Setia dan Pandan Indah pada hari ini.

“Insya-ALLAH, saya percaya di DUN lain juga akan membeli jualan ayam subsidi PKPS ini bergantung kepada peruntukan masing-masing.

“Pada masa sama, kita mahu mengatur untuk PKPS jual kepada orang awam tetapi bergantung pada waktu yang sesuai,” katanya.

“PKPS giat melaksanakan program ini supaya rakyat Selangor mendapat manfaat daripada hasil keluaran PKPS. Kita mempunyai ladang ayam ternakan di Kuala Selangor yang mampu mengeluarkan sehingga 550,000 ayam pada setiap pusingan.

“Jualan subsidi ayam PKPS ini dijadualkan berterusan sehingga penghujung Ogos ini,” katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.