Sinar Harian: Muzakarah Ulama Umara cetus gelombang Ihya, Al Ghazali - Amirudin
SHAH ALAM - Program Muzakarah Ulama Umara sempena Festival Turath Islami Selangor 2023 mampu mencetus gelombang Ihya dan Al Ghazali ke seluruh negeri dan alam Melayu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, senario yang melatari penulisan Ihya mempunyai banyak persamaan dengan apa yang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini.
Amirudin sehubungan itu berharap muzakarah dan dialog yang berlangsung merancakkan lagi perbincangan keilmuan Islam dan meningkatkan lagi keinginan dalam kalangan ummah.
Malah beliau turut berharap ia dapat menyuntik roh dan semangat dalam melahirkan kepimpinan yang baik bagi masa depan yang sejahtera bagi seluruh umat.
"Saya membayangkan Shah Alam dan negeri Selangor menjadi pusat keilmuan seumpama Baitul Hikmah Baghdad, Al Qarawiyyin, Al Azhar dan dua masjid mulia di Haramain kesan berpanjangan yang sedemikianlah antara cita-cita kami sebagai penganjur.
"Sehubungan itu, kita mengharapkan peserta khususnya dan rakyat Selangor amnya menghayati intipati Ihya, mencetuskan gelombang Ihya dan Al-Ghazali keseluruh negeri dan alam Melayu.
"Senario yang melatari penulisan Ihya mempunyai banyak persamaan dengan apa yang dihadapi oleh umat Islam hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Muzakarah Ulama Umara sempena Festival Turath Islami Selangor 2023 di sebuah hotel di Shah Alam di sini pada Khamis.
Hadir sama, bekas Mufti Agung Mesir, Profesor Dr Ali Jum’ah serta Pengasas dan Pengetua Darul Musthafa, Yaman, Habib Umar Hafidz.
Dalam pada itu, Amirudin turut memberi bayangan bahawa golongan yang dikelompokkan sebagai ilmuwan kini juga ramai yang keliru apatah lagi masyarakat awam.
Menurut beliau, pemahaman dan tafsiran Islam secara terpisah tanpa sebarang kerangka kesatuan menjadikan pemahaman dan amalan Islam sempit.
"Penekanan terhadap persoalan hukum-hakam secara tidak adil dan tepat, kecenderungan memperdebatkan isu-isu yang tidak menyumbang kepada pembangunan ilmiah dan pengamalan Islam yang sempurna serta penggunaan pendekatan retorik berlebihan dan kosong banyak menyumbang kepada fenomena ini.
"Akhirnya kekeliruan dalam pelbagai aspek kehidupan berleluasa atas nama ilmu dan kesemua krisis ini adalah antara faktor yang mendorong Ihya ditulis," katanya.
Beliau menambah, penulisan Ihya bukan satu penulisan yang berupa latihan aqli semata-mata namun misinya jelas untuk menyumbang kepada penyelesaian kemelut manusia.
"Dengan suatu kerangka yang komprehensif Ihya mengemukakan jalan penyelesaiannya dan dasar permasalahan dikenal-pasti dan tahap serta prosesnya disusun dan diperincikan," katanya.
Sehubungan itu, penterjemahan Ihya sangat relevan dan pengkajian terhadapnya dalam konteks cabaran semasa amat membantu dalam rangka mengenal-pasti modul yang komprehensif dalam pemulihan umat Islam secara umumnya.