Media

Peristiwa
8/4/21
Selangor

Sinar Harian: MDHS rangkul empat anugerah Cabaran LCC 2030

HULU SELANGOR - Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memenangi empat anugerah pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2020 anjuran Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC).


MDHS dalam satu kenyataan berkata, MDHS menerima dua pengiktirafan 'Diamond' menerusi dua kategori iaitu Kategori Zon dan Kategori Rakan Kongsi.

Menurutnya, bagi Kategori Zon, Bandar Kuala Kubu Bharu telah dipilih sebagai kawasan projek dan menerima pengiktirafan Diamond di atas pencapaian pengurangan sebanyak 10.52 peratus bersamaan dengan 804.84 tCO 2e pelepasan karbon.


"Bagi Kategori Rakan Kongsi pula, ibu pejabat MDHS turut mendapat anugerah Diamond berikutan kejayaan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 5.15 peratus sejak 2017 yang bersamaan dengan 13.71 tCO 2e.

"Selain itu, dua agensi yang turut serta dalam kategori Rakan Kongsi turut mendapat pengiktirafan Diamond iaitu Masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu dan Hospital Kuala Kubu Bharu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Anugerah bersempena Program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (Cabaran LCC 2030) disempurnakan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man secara langsung di Facebook MGTC pada Selasa.

Yang Dipertua MDHS, Dr Mohd Azhar Mohamed Ali hadir bagi menerima anugerah tersebut.

Katanya, tahun ini merupakan tahun kedua MDHS menerima anugerah ini.

"MDHS komited melaksanakan program Bandar Rendah Karbon ini bagi menyokong hasrat kerajaan dalam mencapai matlamat pengurangan intensiti pelepasan karbon monoksida menjelang tahun 2030 serta menggalakkan penduduk Hulu Selangor mengamalkan gaya hidup rendah karbon.

"Perkara ini juga sejajar dengan Teras Strategik: Merancang Pembangunan Secara Mampan Untuk Mencapai Kesejahteraan Rakyat sebagaimana telah digariskan dalam Pelan Strategik MDHS 2019-2023," katanya.

MGTC merupakan agensi yang telah diberi mandat oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk melaksanakan Program Cabaran LCC 2030.

Program ini merupakan fasa kedua bagi Pelaksanaan Rangka Bandar Rendah Karbon (LCCF) untuk tempoh pelaksanaan tahun 2019 sehingga 2030.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.