Media

Terkini
21/9/21
Selangor

Sinar Harian: JPNS pantau kawasan tumpuan ramai secara bersepadu

SHAH ALAM - Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) melakukan pemantauan di kawasan tumpuan aktiviti air dan pendakian di negeri ini.Pengarahnya, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, pemantauan dilakukan secara bersepadu bersama agensi-agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Beliau bagaimanapun berkata, sejak 24 individu ditangkap kerana memasuki Hutan Simpan Batang Kali tanpa kebenaran dan permit pada Sabtu, tiada lagi tangkapan baharu membabitkan pencerobohan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) seliaan pihaknya.

Menurutnya, pencerobohan biasanya berlaku di kawasan tumpuan aktiviti air seperti Air Terjun Ulu Perdik, Air Terjun Sungai Lepoh, Air Terjun Batangsi dan Gunung Hitam di daerah Hulu Langat.


Menurutnya, kawasan lain yang menjadi tumpuan penceroboh tanpa permit ialah sekitar Sungai Kemensah, Templer; Sungai Pisang, Gombak, Sungai Selangor dan Sungai Peretak di Kuala Kubu Bharu.

“JPNS menjalankan pemantauan di kawasan hotspot ini secara bersepadu bersama pelbagai agensi kerana kita tidak dapat menjalankan pemantauan sepenuh masa.

“Buat masa ini, tiada prosedur operasi standard (SOP) sektor ekopelancongan sumber asli diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada negeri yang berada dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Keputusan pembukaan operasi kawasan Taman Eko Rimba (TER) dan Hutan Taman Negara (HTN) hanya dibenarkan dalam fasa tiga PPN,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, keadaan di tempat tumpuan orang ramai di bandar raya ini masih terkawal walaupun lokasi seperti Taman Tasik Shah Alam mula dikunjungi sejak peralihan Selangor ke fasa dua PPN baru-baru ini.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.