Suara

COVID-19
29/7/20
Isu
Selangor

Sinar Harian : Covid-19: Selangor siap sedia jika PKP dilaksanakan semula

Artikel terbit di sinarharian.com.my pada 27 Juai 2020

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor bersiap-sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula susulan peningkatan wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Tetap Kesihatan dan Selangor Task Force Covid-19 (STFC) dan Jabatan Kesihatan Selangor selepas ini untuk melihat perancangan terkini dan masa depan dalam berdepan pandemik koronavirus (Covid-19).

Beliau berkata, pihaknya juga kerap mengingatkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Negeri agar kerajaan negeri perlu sentiasa bersiap-sedia sehingga vaksin Covid-19 ditemui.

"Selangor ketika ini menggunakan dua kaedah yang dilihat berkesan dalam berdepan Covid-19 iaitu kawalan dan PKP," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Bagi DRT MBSA 2035 (Penggantian) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia Alam, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menguatkuasakan semula PKP sekiranya kes positif baharu jangkitan Covid-19 dalam negara mencecah tiga angka.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Kerajaan Selangor sentiasa menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan masyarakat mematuhi pelaksanaan tersebut.

"Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) antara pihak berkuasa tempatan (PBT) yang telah menutup banyak premis yang gagal mematuhi SOP ditetapkan. Itu (penguatkuasaan) kita laksanakan tapi tak boleh sepenuhnya kerana penguat kuasa kita terhad," katanya.

Tambah Amirudin, ekonomi Selangor pastinya terjejas sekiranya PKP dilaksanakan namun pentadbiran kerajaan negeri bernasib baik ekoran infrastruktur di negeri ini dalam keadaan baik. "Kita untung sebab infrastruktur kita seperti jaringan internet di bandar-bandar utama meluas dan boleh menggerakkan sektor ekonomi.

"Saya percaya ini bukan untuk takutkan rakyat tapi kita kena siap sedia dan patuhi SOP ditetapkan," katanya.












Seterusnya
SELANGOR MAJU BERSAMA
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.