Inisiatif

Peristiwa
22/11/21
Selangor

Sinar Harian: 70 syarikat sertai SRIE 2021

KUALA LUMPUR - Lebih 70 syarikat terlibat dalam pameran Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi Selangor (SRIE) 2021 yang berlangsung selama empat hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula Khamis lalu.


Exco Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Teng Chang Khim berkata, sebanyak 100 tapak pameran dibuka mengikut sektor terdiri daripada inovasi, elektrik dan elektronik, perkhidmatan, sains kehidupan, mesin dan kelengkapan, sains teknologi kejuruteraan matematik (STEM), peralatan pengangkutan serta sektor makanan dan minuman.

Menurutnya, SRIE 2021 merupakan inisiatif menjadikan Selangor sebagai negeri pintar dan penyayang selain melestarikan pembangunan dan kemakmuran simetri serta peduli rakyat.

"Ekspo ini dirangkum bagi menggembleng elemen-elemen penting dalam mengembangkan ekosistem teknologi maju seiring Revolusi Industri 4.0 yang menjadi semakin penting di pasaran global.

"Bagi memastikan pemacuan ekosistem ini, SRIE 2021 menggabungkan kesemua elemen ini di bawah satu platform," katanya pada penutup SRIE 2021 di KLCC pada Ahad.

Beliau berkata, pameran dan jalinan perniagaan dirangkum untuk membuka lebih banyak peluang bagi syarikat-syarikat teknologi dikenal pasti dan dipadankan dengan rakan perniagaan bagi membolehkan komuniti pembangunan serta penyelidikan (R&D) berkembang secara organik selepas ekspo tersebut berakhir.

"Peluasan jalinan ini penting dalam membentuk satu rantaian nilai yang kaya dengan pelbagai syarikat dan tenaga kerja yang mahir dalam pelbagai disiplin Industri 4.0, aspek reka bentuk produk dan proses, pembuatan pintar serta perkhidmatan sokongan berasaskan data dan teknologi digital.


"Kerajaan Selangor ingin menyatakan komitmen bahawa SRIE dapat diteruskan di tahun-tahun yang akan datang," ujarnya.

Justeru, Chang Kim berharap SRIE menjadi platform perhimpunan pakar-pakar teknologi termaju dan menjadi acara yang dinantikan oleh warga teknologi dunia pada masa akan datang.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.