Suara

Peristiwa
14/2/22
Isu
Selangor
Banjir
Bantuan

Sinar Harian: 64,388 keluarga terjejas banjir terima bantuan BSB

SHAH ALAM - Sebanyak RM64.518 juta dibelanjakan untuk membantu 64,388 keluarga yang terjejas akibat banjir menerusi Bantuan Selangor Bangkit (BSB) setakat Ahad.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada RM100 juta yang diperuntukkan menerusi BSB bagi tujuan itu.


Menurutnya, daerah Klang menerima bantuan BSB tertinggi dengan RM17.396 juta membabitkan 17,336 keluarga termasuk enam keluarga yang kehilangan ahli keluarga akibat musibah tersebut, diikuti Petaling (RM16.917 juta, 16,917 keluarga).


"Sebanyak 9,079 keluarga di Kuala Langat termasuk sebuah keluarga yang kehilangan ahli keluarga akibat musibah tersebut menerima bantuan BSB dengan peruntukan sebanyak RM9.089 juta, diikuti 7,843 keluarga serta dua keluarga kehilangan ahli keluarga di Hulu Langat (RM7.854 juta).

"Seterusnya, BSB diberikan kepada 6,855 keluarga di daerah Sepang termasuk tiga keluarga kehilangan ahli keluarga (RM6.885 juta), diikuti 5,430 keluarga di daerah Kuala Selangor (RM5.53 juta), Gombak sebanyak 893 keluarga (RM893,000) serta sebanyak 40 keluarga di Sabak Bernam (RM40,000)," katanya menerusi satu infografik di Facebook pada Ahad.

Pada Disember lalu, Amirudin dalam satu sidang akhbar khas mengumumkan kerajaan negeri Selangor mula mengagihkan bantuan berjumlah RM1,000 mulai Rabu kepada keluarga yang terlibat dengan banjir baru-baru ini.

Katanya, ia akan diagihkan secara berperingkat kepada mangsa kategori pertama iaitu mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang diwartakan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.