Inisiatif

Peristiwa
18/8/22
Selangor
Bantuan

Sinar Harian: 1,024 keluarga berjaya keluar senarai asnaf di Selangor

KUALA SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan seramai 1,500 daripada 65,000 keluarga keluar daripada senarai penerima bantuan agensi itu pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, jumlah keluarga asnaf yang keluar daripada kemiskinan meningkat berbanding pada tahun lalu.

"Pada tahun lalu, seramai 1,024 asnaf keluar daripada senarai penerima zakat dan kurang 10 peratus asnaf dijangka tidak lagi terikat dengan bantuan zakat pada tahun ini," katanya pada Program Skuad Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di rumah waris penerima di Simfoni Perdana, LBS Alam Perdana di sini pada Rabu.

Mohd Sabirin berkata, beberapa faktor mendorong penerima zakat keluar daripada status asnaf antaranya disebabkan peningkatan pendapatan dan bantuan ekonomi.

Ditanya jumlah penerima bantuan LZS yang tampil membatalkan nama mereka sebagai asnaf, Mohd Sabirin berkata, pihaknya tidak mempunyai data spesifik jumlah penerima zakat yang tampil dan memohon sendiri kepada LZS untuk keluarkan mereka daripada asnaf.

Bagaimanapun, katanya, ramai asnaf yang berjiwa besar termasuk yang menulis surat untuk memohon keluar daripada kategori asnaf selepas pendapatan stabil.

"Kisah mereka ini kami kongsikan dalam media sosial LZS supaya menjadi inspirasi kepada asnaf lain," ujar beliau.

Jelas beliau, LZS menerusi divisyen operasi agihan asnaf pada setiap tahun akan menjalankan pemantauan dan bancian di semua sembilan cawangan zakat di setiap daerah di negeri ini.

"Jika asnaf terbabit didapati tidak layak, kita akan keluarkan mereka daripada senarai penerima dan memberi manfaat kepada mereka yang layak.

"Kita juga menggalakkan mereka yang ingin keluar asnaf tampil secara jujur untuk datang sendiri ke LZS untuk keluar daripada status mereka dan diberhentikan bantuan," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan tindakan seorang penerima zakat dari Kajang yang menghantar surat memohon ditamatkan bantuan bulanan kepada LZS mendapat pujian berikutan sikap amanah ditampilkan individu berkenaan.

LZS menerusi perkongsian di Facebooknya memaklumkan, menerusi surat bertarikh 12 Ogos itu, penerima terbabit membuat permohonan dihentikan bayaran zakat kerana pendapatan hariannya dijangka mulai stabil.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.