Sesi Santai Mesra YAB Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama Warga Perkhidmatan Awam Zon Tengah
Meneruskan agenda saya hari ini dengan menghadiri Sesi Santai Mesra YAB Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama Warga Perkhidmatan Awam Zon Tengah di Universiti Islam Selangor (UIS).
Program ini merupakan edisi kelima penganjurannya dan terus menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara kepimpinan negara dengan warga perkhidmatan awam.
Dalam ucapan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam yang telah menjadi tonggak kepada kejayaan negara. Beliau turut menegaskan bahawa pencapaian pertumbuhan ekonomi negara ketika ini adalah jauh lebih baik daripada unjuran awal, hasil dokongan, komitmen dan sokongan padu seluruh warga perkhidmatan awam dalam melaksanakan dasar serta agenda pembangunan negara.
Majlis ini turut menjadi medan untuk menyelaraskan tekad dan iltizam bersama dalam menghadapi landskap pentadbiran yang semakin mencabar. Perkhidmatan awam perlu terus diperkasakan dengan budaya kerja yang tangkas, inovatif, berintegriti dan berorientasikan rakyat, agar setiap dasar kerajaan dapat diterjemahkan kepada manfaat yang benar-benar dirasai oleh rakyat.
Saya percaya semangat kebersamaan antara kepimpinan negara, kerajaan negeri dan seluruh warga perkhidmatan awam akan terus menjadi pemangkin kepada pentadbiran yang lebih berkesan, responsif dan berwibawa demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.
Terima kasih kepada seluruh warga perkhidmatan awam yang terus menggalas amanah dengan penuh dedikasi dan profesionalisme dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.















