Sesi Media Get Together anjuran Invest Selangor Berhad
Tengah hari ini dalam suasana santai, saya sempat bersua dan makan tengah hari bersama rakan-rakan media dalam sesi Media Get Together anjuran Invest Selangor Berhad yang diadakan di Restoran Rebung.
Saya menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak media atas liputan yang pantas dan menyeluruh terutama berkenaan perkembangan Negeri Selangor. Pelaporan media bukan sahaja membantu rakyat Selangor mengetahui perkembangan terkini dalam ekonomi, pelaburan dan dunia perniagaan negeri ini, tetapi secara langsung turut menjadi daya tarikan dan keyakinan pelabur-pelabur untuk terus datang ke Selangor.
Mengambil contoh acara besar seperti Selangor International Business Summit 2025 dan Selangor Aerospace Summit 2025 yang turut menjadi platform strategik negeri Selangor sebagai hab pelaburan dan rantaian bekalan antarabangsa, liputan rapi dari pihak media telah memainkan peranan penting dalam menyebarluas visibiliti negeri Selangor ke peringkat global.
Peranan media sebagai ‘The Fourth Estate’ iaitu sebagai pengimbang terhadap kerajaan harus kita hormati dan junjung sebaiknya. Kebebasan media adalah prinsip yang harus kita pertahan dan raikan bersama.
Saya berharap agar kerjasama erat dan hubungan baik antara kerajaan negeri dan media dapat diteruskan agar setiap inisiatif dan peluang yang dihasilkan dapat sampai ke khalayak dengan baik. Insya-Allah, Selangor kekal di persada sebagai destinasi pilihan pelaburan dan pembangunan.












