Inisiatif

Ekonomi
24/12/20
Selangor
Bantuan

Selangor Kini: Usahawan Hijrah bantu penduduk setempat dapat peluang kerja

SABAK BERNAM, 23 DIS: Usahawan dibantu Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) kini berjaya membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Perkara itu terbukti apabila pengusaha kuih kapit, Shafinaz Ainaa Muslim sudah mampu menggaji tujuh pekerja terdiri dari kaum wanita di sekitar Tanjung Karang.

“Saya mahu perniagaan yang diusahakan membantu kaum hawa menjana pendapatan dan sudahpun membuka peluang kepada suri rumah menjadi ejen untuk menjual kuih kapit ini.

“Terkini, ada ejen jualan memperoleh pendapatan mencecah RM5,000 sebulan, terima kasih kepada Hijrah kerana akhirnya saya dapat membantu orang lain menjana pendapatan,” kata pengusaha Ratu Kapit berusia 35 tahun kepada SelangorKini.

Beliau membuat pinjaman terkumpul dari Hijrah sebanyak RM15,000 dan kini produknya juga sudah menembusi pasaran China, Australia, Vietnam dan Thailand.

Sementara itu, Syamsul Amir Ahmad juga usahawan dibantu agensi Kerajaan Negeri itu sudahpun mempunyai empat cawangan kedai aksesori telefon bimbit dinamakan Cikgu Gadget iaitu masing-masing dua di Sungai Besar dan Tanjung Karang.

Beliau tidak menyangka kedainya dibuka di kawasan luar bandar kini dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Saya hanya membuat pinjaman dengabn Hijrah iaitu RM50,000 untuk membuka cawangan Cikgu Gadget, sekarang mempunyai 10 pekerja dan kebanyakannya anak muda.

“Dengan modal diperoleh saya dapat membuka lebih banyak cawangan sekali gus membolehkan ramai penduduk mendapat pekerjaan,” kata usahawan berusia 40 tahun.

Kedua-dua usahawan berkenaan ditemui ketika Program Kembara Sukses Hijrah 2020 oleh EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah, Normaiza Yahya.

Rodziah berkata, seramai 66 usahawan dari 20 cawangan seluruh Selangor tercalon menerusi Program Kembara Sukses Hijrah 2020 kali ini dan 21 daripadanya berjaya dipilih.

Bagi fasa pertama selain Shafinaz Ainaa dan Syamsul Amir Ahmad, beliau turut mengunjungi tiga usahawan lain iaitu Elyna Muhammad Hambali selaku pengusaha bengkel kereta, Mohd Faizal Sarwani (pengusaha gerai ayam bakar) dan Siti Zubaidah Husni (pengusaha kedai runcit).

Kesemua usahawan berkenaan menerima sijil penghargaan dan sumbangan hamper dari Hijrah.



Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.