Inisiatif

Terkini
22/9/22
Selangor
Bantuan
Isu

Selangor Kini: Program jualan murah beri manfaat besar kepada keluarga ramai tanggungan

KUALA SELANGOR, 21 SEPT: Program Jualan Ehsan Rakyat kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor membantu keluarga yang mempunyai tanggungan ramai berjimat cermat.

Warga emas Khoo Soo Mee,61, berkata jualan murah barangan asas itu membolehkan beliau membeli barang makanan asas dengan harga lebih rendah berbanding pasaran luar.

“Di sini seekor ayam hanya RM10. Kalau beli dekat luar, saya kena keluar belanja antara RM16 hingga RM20. Ini menjimatkan saya cumanya pembelian terhad. Hanya dua ekor dibenarkan.


“Kalau boleh kita minta beli lebih. Keluarga saya besar. Ada lapan orang semuanya. Kalau beli banyak boleh simpan dua tiga hari. Program bukan setiap hari ada,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu pekerja kilang Mohd Hanafi Mat Hussin,45, berkata program berkenaan boleh menjadi pusat jualan sekali gus memudahkan penduduk mendapat barang keperluan dapur.

“Program ini bagus. Lagi bagus kalau ada jual sayur segar dengan harga rendah. Ini akan beri manfaat besar kepada penduduk.

“Rugi sekiranya penduduk tidak membeli di sini. Harga murah dan barangan segar. Walaupun beratur kira-kira setengah jam, ia tetap berbaloi,” katanya.

Inisiatif jualan murah terbabit dilancar sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri dengan peruntukan RM10 juta.

Bermula 6 September, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM6 per pek).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat semalam sejumlah RM880,000 penjimatan dinikmati rakyat negeri ini menerusi program berkenaan.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.