Inisiatif

Peristiwa
28/9/22
Selangor
Bantuan

Selangor Kini: Orang ramai akui jualan murah PKPS jimatkan kos barang dapur

SUBANG JAYA, 27 SEPT: Program jualan barangan asas murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diakui menjimatkan kos perbelanjaan keluarga.

Abdul Hadi Ahmad, 28, berkata kedatangannya dan isteri ke Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya bagi membeli keperluan dapur yang sudah habis.

“Ini merupakan kali pertama saya datang ke jualan murah dan agak teruja kerana harganya amat murah dan berbaloi.

“Saya tahu tentang jualan murah ini daripada WhatsApp komuniti dan tidak lepaskan peluang untuk dapatkan barangan pada harga murah,” kata jurujual itu pada program di Rumah Pangsa SS19/7A di sini, hari ini.

Suri rumah, Rohana Abidin, 57, pula berkata beliau membeli telur, ayam, beras dan ikan pada harga RM76 sahaja.“Saya baru balik dari kampung dan kebetulan semua barang dapur habis. Saya ambil kesempatan beli barang dan tidak sangka dapat jimat hampir RM50.

“Seharusnya apabila ada jualan murah macam ini masyarakat tidak lepaskan peluang kerana ia banyak beri penjimatan dalam belanja dapur,” katanya.

Manakala pekerja swasta, Ong KL, 73, berkata program ini sangat membantu terutama ketika kos sara hidup semakin meningkat.

“Saya cadangkan program ini diteruskan sebulan sekali supaya dapat bantu masyarakat khusus golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Program JER bermula 6 September sehingga 6 Disember hadapan menawarkan jualan harga barangan makanan pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Menerusi jualan murah ini, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg(RM25) dan beras 5kg (RM10).

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.