Suara

Peristiwa
13/5/22
Isu
Selangor
Banjir
Bantuan

Selangor Kini: Negeri bantu selesaikan isu agihan bantuan banjir persekutuan

SHAH ALAM, 12 MEI: Selangor akan membantu menyelesaikan isu agihan Bantuan Pembelian Barangan Keperluan berjumlah RM2,500 yang didakwa belum sampai sepenuhnya kepada mangsa banjir negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ada mangsa mengadu belum memperoleh bantuan diselaras Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) meskipun bencana sudah lama berlaku.

“Kita dapat aduan bantuan yang diumumkan kerajaan persekutuan belum sepenuhnya disampaikan. Mungkin ada kekangan tertentu atau masalah komunikasi (menyebabkan bantuan tidak sampai).

“Saya kena lihat balik proses di peringkat pejabat tanah dan daerah (PTD) supaya ia sampai kepada rakyat. Setakat ini saya dimaklumkan ICU JPM berhubung rapat dengan PTD untuk membantu mempercepat proses (agihan).

“Bagi saya ia telah diumumkan dan mereka (mangsa) berhak mendapat bantuan itu,” katanya pada majlis pelancaran Selangor Mega Job Fair dan selangorjobportal.com.my di Dewan Pro Canselor Universiti Selangor (Unisel) Shah Alam hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah RM1,000 selesai diagih kepada 122,000 keluarga terjejas bencana seluruh negeri membabitkan peruntukan RM122 juta.

“Kalau ikutkan agihan BSB sudah lengkap kerana kita sudah beri peluang yang cukup lama termasuk mereka yang berulang kali dipanggil untuk terima bantuan tersebut tetapi tidak hadir,” katanya.

Pada 31 Disember tahun lalu, kerajaan mengumumkan bantuan wang tunai RM2,500 untuk setiap ketua keluarga terkesan bah untuk membeli barang keperluan.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.