Suara

Terkini
28/9/20
Selangor

Selangor Kini : Lima muzium pamer sejarah negeri

Sempena sambutan Hari Malaysia, Tourism Selangor memilih lima muzium bagi mengembalikan ingatan terhadap sejarah negeri, apatah lagi pelbagai keunikan termasuk tinggalan sejarah dapat disaksikan hingga ke hari ini.

Wartawan NAZLI IBRAHIM memperinci keunikan muzium berkenaan.

Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor

– Terletak di puncak Bukit Malawati, Kuala Selangor, ia pusat pentadbiran awal Selangor yang diasaskan Raja Lumu (Sultan Sallehudin) sekitar 1766 sekali gus mercu tanda perkembangan awal institusi Kesultanan Melayu Selangor

– Kini berusia lebih 200 tahun. Pusat pentadbiran itu kemudian berpindah ke Bukit Jugra, Kuala Langat pada pemerintahan sultan keempat, Sultan Abdul Samad Tengku Abdullah

– Dijadikan kediaman rasmi pegawai daerah sekitar 1960 sebelum diubah suai pada 2006 untuk dijadikan muzium bersejarah kesultanan Selangor

– Menyimpan maklumat penubuhan negeri secara kronologi termasuk catatan asal usul nama Selangor, penaklukan Kota Melawati oleh Belanda dan serangan balas Sultan Ibrahim yang merampas kembali kota itu

– Sisa kubu pertahanan yang dibina semasa serangan Belanda dan tangga seratus yang digunakan pedagang untuk ke istana selepas menambat perahu di Pengkalan Batu Buruk masih boleh dilihat.

Muzium Insitu Jugra

– Terletak di Kuala Langat, ia asalnya sebuah balai polis atau dikenali rumah pasung yang dibina pada pemerintahan Sultan Abdul Samad Tengku Abdullah pada 1878 sekali gus membuktikan zaman itu memiliki sistem perundangan moden

– Digunakan ketika Jugra menjadi pusat pemerintahan Kesultanan Melayu Selangor sebelum pentabdiran itu berpindah ke Klang pada 1882

– Antara yang dapat disaksikan adalah keunikan struktur binaan penjara, mahkamah mini, peralatan penjara seperti gari, perigi lama di samping kesan tapak cari gali arkeologi

Pusat Warisan Kajang

– Menyimpan sejarah dan warisan Kajang hampir 200 tahun lalu di Jalan Mendaling, Kajang

– Menonjolkan sejarah perkembangan masyarakat di Kajang termasuk aspek pekerjaan, pengangkutan dan bangunan lama

– Mempamer ketulan bijih timah dan dulang kayu yang digunakan masyarakat tempatan serta Mandailing di beberapa lombong sekitar Kajang. Ia ada kaitan dengan sejarah pembukaan daerah Kajang pada 1870-an

– Merupakan salah satu daripada enam hentian bagi perjalanan (tour) Kajang Heritage Walk

Muzium Sultan Alam Shah

– Terletak di Seksyen 14, Shah Alam, premis berkeluasan 135,000 kaki persegi dibina pada 1974. Ia diberi nama sempena Sultan Selangor ketujuh, Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj. Reka bentuknya berdasarkan seni bina Minangkabau

– Menyimpan hampir 4,000 artifak termasuk era manusia terawal menduduki Selangor. Paling terkenal ialah gendang Dong Son dari zaman gangsa, sejarah Selangor pada zaman Kerajaan Portugis, Belanda dan Bugis

– Pameran seni dan budaya etnik di Selangor seperti Bugis, Jawa, Minang, Banjar, Mandailing, Rawa dan lain-lain termasuk pakaian, alat muzik, alat serta senjata juga diperaga

– Bahagian luar menempatkan pameran kereta perisai Ferret, sistem radar, kapal terbang, lokomotif dan kereta pertama bekas Menteri Besar Selangor

Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz

– Hasil cetusan idea Yang di-Pertuan Agong ke-11, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

– Ditempatkan di Bangunan Sultan Sulaiman di Jalan Kota, Klang dan dinamakan sebagai Muzium Kenangan pada 1988

– Sultan kesembilan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan Bangunan Sultan Suleiman dijadikan galeri diraja yang baharu pada 2005.

– Pernah dijadikan pejabat pentadbiran British pada zaman kolonial sebelum Jepun menjadikannya markas perang pada Perang Dunia kedua

– Memuatkan gambaran zaman kanak-kanak dan tahun awal Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj sebagai putera mahkota, kerjaya ketenteraan dan pejabat awam sebelum ditabal sebagai sultan kelapan pada 1960

– Koleksi Diraja termasuk artifak dan hadiah peribadi yang luar biasa selain replika permata mahkota Selangor


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.