Inisiatif

Peristiwa
10/5/23
Selangor
Bantuan

Selangor Kini: Lebih 10 kali datang jualan murah, barangan ditawar segar setanding pasar raya

KUALA SELANGOR, 9 MEI: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) sememangnya sentiasa dinantikan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok untuk membeli barangan keperluan pada harga murah.

Rata-rata pengunjung yang ditemui telah lebih lima kali membeli barangan dapur pada program jualan murah itu setiap kali ia dianjurkan di kawasan berkenaan.


Suri rumah, Samsyuriyani Samuri, 49, yang lebih 10 kali mengunjungi JER sentiasa menanti penganjuran program itu di kawasan rumahnya atau kampung berhampiran dalam DUN Ijok.

“Memandangkan hanya suami yang bekerja jadi saya perlu bijak dan berjimat cermat berbelanja. Lagipun barangan yang dijual di sini berkualiti walaupun murah.

“Beras yang dijual sedap dan tidak mudah basi manakala ayam pula segar dan bersaiz besar sesuai untuk keluarga saya yang ramai,” katanya kepada Selangorkini.

Bagi pesara Nasruddin Mohd Ghazi, 61, yang sudah lima kali membeli di JER berkata berbaloi mengunjungi program itu walaupun perlu beratur dan tunggu giliran untuk dapatkan barangan keperluan asas.

“Saya tak kisah walaupun kena beratur sedikit panjang. Saya harap Kerajaan Negeri teruskan program ini kerana ia terbukti membantu meringankan beban kewangan terutama golongan B40 dan mereka yang tiada pendapatan tetap,” katanya.

Sementara itu, Wan Rusliah Mohd Yusof, 68, pula memaklumkan sudah empat kali datang ke JER.

“Saya suka membeli di program jualan murah ini kerana barangan yang ditawarkan segar dan berkualiti berbanding di pasar raya besar.

“Sistem nombor yang digunakan sistematik dan lancar. Makcik hanya tunggu 20 minit sebelum nombor giliran dipanggil. Kalau beli di luar sama juga perlu beratur tetapi harga lebih mahal,” katanya ditemui pada program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) peringkat DUN Ijok di Kampung Parit Mahang, di sini hari ini.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10)

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari lepas.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan..

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.