Media

COVID-19
7/7/20
Isu
Selangor
Orang Asli

Selangor Kini : Kerajaan Negeri sumbang kerusi, meja kepada Orang Asli

Artikel asal terbit di selangorkini.my pada 7 Julai 2020

HULU LANGAT, 7 JULAI: Kerajaan Negeri menyumbangkan 150 kerusi dan 50 meja membabitkan peruntukan RM72,000 kepada sembilan kampung Orang Asli di Hulu Langat.

EXCO Hal Ehwal Orang Asal Hee Loy Sian berkata sumbangan itu untuk kegunaan masyarakat yang mengharapkan kemudahan berkenaan sebelum ini.

“Kita janjikan kepada mereka semasa Pilihan Raya Kecil Semenyih lagi selepas dimaklumkan oleh semua tok batin bahawa mereka kekurangan meja dan kerusi untuk acara kenduri serta program kemasyarakatan.

“Walaupun mereka (Orang Asli) di bawah tanggungjawab Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tetapi kita tetap bekerjasama menjaga kebajikan golongan ini,” katanya selepas majlis penyerahan alat berkenaan di Balai Raya Kampung Orang Asli (KOA) Kuala Pangsun di sini hari ini.

Tok Batin Kampung Orang Asli Kuala Pangsun, Andak A/L Pendek, 55, menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri kerana menunaikan hasrat memiliki kemudahan tersebut.

“Saya juga harap JAKOA dan Kerajaan Selangor menumpukan beberapa perkara lain demi membela kebajikan Orang Asli misalnya isu lampu jalan bagi memudahkan pergerakan anak-anak ke sekolah pada waktu pagi termasuk membaik pulih rumah penduduk yang rosak,” katanya.

Ketua MPKK KOA Kampung Kuala Pangsun, Roslan Asoi, 38, pula terharu dengan sumbangan itu turut meminta pertimbangan Kerajaan Negeri untuk menaik taraf ekonomi masyarakat Orang Asli.

“Kebanyakan penduduk di sini bekerja sebagai petani dan mereka mengerjakan tanaman seperti pisang, jadi kalau boleh kita mahu bantuan benih getah bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk meraih pendapatan melalui tanaman itu,” katanya yang juga pembantu awam di Majlis Perbandaran Sepang.

Selain Kuala Pangsun, kampung orang asli di daerah itu merangkumi Sungai Congkak, Gabai, Paya Lebar, Genting Peras, Donglai Baru, Sungai Lalang Baru, Kacau dan Broga.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.