Inisiatif

Siaran Akhbar
23/7/20
Isu
Air
Selangor
Bantuan

Selangor Kini : Kerajaan Negeri hulur bantuan RM500, keperluan dapur

Artikel terbit di selangorkini.my pada 20 Julai 2020

KAJANG, 20 JULAI: Kerajaan Negeri mengagihkan bantuan segera RM500 kepada setiap keluarga mangsa banjir kilat di Hulu Langat, Hulu Selangor, Gombak dan Klang.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan barangan keperluan dapur turut diagihkan sebagai inisiatif demi meringankan beban mangsa.

“Jika diikutkan mangsa banjir kilat tidak layak menerima bantuan RM500, yang layak hanya mangsa banjir pada musim tengkujuh sahaja namun atas dasar prihatin saya setuju salurkan bantuan.

“Saya minta agensi berkaitan dapatkan bilangan tepat keluarga terjejas, kita tidak mahu ada tercicir, selain berharap lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil hulurkan bantuan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari kepada pemberita selepas bertemu mangsa banjir di Kampung Jambu dan Taman Muhibbah hari ini.

Sementara itu Ketua Kampung Jambu, Mohd Khalid Mohd Noor berharap kerajaan Persekutuan dan Negeri sepakat mengatasi isu banjir di Kajang.

“Kita juga berharap rancangan tebatan banjir segera dilaksanakan demi kebaikan semua kerana banjir kali ini merupakan paling teruk, kali terakhir banjir seperti ini berlaku pada 2004,” katanya.

Pengerusi Surau An Najah, Mohd Hatta Mohamad Saat mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Dato’ Menteri Besar turun padang bertanya khabar penduduk terjejas.

Kelmarin 22 kawasan di Hulu Langat, Sepang (14), Hulu Selangor (4) Gombak (dua) dan Klang (satu) mengalami banjir kilat.

Susulan itu Amirudin berkata Selangor memohon peruntukan RM500 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk mengatasi isu kekerapan banjir di Kajang.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.