Media

Peristiwa
30/1/23
Selangor
Bantuan

Selangor Kini: Inisiatif bantuan dikendali Yawas ikut perkembangan semasa, pastikan kebajikan rakyat terbela

SELAYANG, 29 JAN: Program dan inisiatif untuk kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang dikendalikan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) mengikut perkembangan semasa serta menjaga kebajikan rakyat Selangor.

Pengurus Besarnya Gan Pei Nei berkata setiap bantuan kepada golongan terbabit demi menjamin kesejahteraan mereka khususnya kanak-kanak dalam bidang pendidikan awal.

“Yawas diberi amanah memfokuskan kebajikan dan kesejahteraan golongan ini. Bukan sahaja Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), tetapi pelbagai inisiatif ada untuk anak-anak termasuk Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar (Asuh Pintar) dan Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas).

“Selain itu, ada juga bantuan untuk golongan istimewa seperti Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (AnIS) manakala warga emas pula Skim Mesra Usia Emas (SMUE). Perkara utama adalah mahu membimbing anak-anak termasuk golongan istimewa untuk berdikari apabila dewasa,” Katanya.


Beliau berucap ketika pada program penyampaian bantuan Tawas kepada ahli yang didaftar di Dewan Undangan Negeri Sungai Tua, Gombak Setia dan Taman Templer di Dewan Rakyat Batu Caves di sini, hari ini.

Penyampaian bantuan awal persekolahan untuk ahli yang lahir pada 2016 itu disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Mengulas mengenai Tawas, Pei Nei memaklumkan seramai 365,920 ahli didaftar sejak inisiatif itu diperkenalkan Kerajaan Negeri bermula 2008 hingga 2018.

“Untuk tahun ini, 42,634 ahli Tawas yang lahir pada 2016 dan bakal memasuki darjah satu menerima manfaat.

“Tujuan kita adakan majlis pemberian bukan sekadar meraikan sahaja, tetapi tanda keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membantu meringankan beban terutama musim persekolahan,” katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.