Inisiatif

Peristiwa
6/7/22
Selangor
Bantuan

Selangor Kini: Dana tunai dari Selangor bantu sekolah tingkat prasarana demi keselesaan pelajar

KUALA SELANGOR, 4 JULAI : Pihak pengurusan sekolah rata-ratanya meluahkan rasa syukur apabila terpilih untuk menerima bantuan baik pulih prasarana daripada Kerajaan Negeri.

Ketua guru Sorayah Mohd Som berkata dana RM40,000 dimanfaat sepenuhnya untuk membaik pulih Kafa Integrasi Nurul Huda Parit Mahang di sini yang pernah dilanda banjir tahun lalu.

“Alhamdulillah dengan bantuan ini kami bercadang untuk menggantikan pintu dan beberapa peralatan yang rosak disebabkan banjir demi keselesaan pelajar dan guru.

“Terima kasih Kerajaan Selangor atas sumbangan ini, nilainya cukup besar dan amat membantu untuk baik pulih kafa ini demi keselesaan 509 pelajar,” katanya.

Sorayah antara wakil penerima Bantuan Sekolah yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Utama Kuala Selangor dekat sini, Sabtu lalu.

Sementara itu, guru Maahad Tahfiz Ar-Ruqaiyah Khairul Anuar Arifin berkata bantuan itu akan dibelanjakan untuk menggantikan peralatan yang sudah uzur seperti meja dan kerusi.

“Kerajaan Selangor amat prihatin hampir setiap tahun madrasah kami menerima bantuan. Insya-Allah bantuan ini akan dimanfaatkan sebaiknya demi keselesaan lebih 20 pelajar,” katanya.

Program Bantuan Sekolah adalah inisiatif Kerajaan Negeri bagi mengekalkan dan menambah baik prasarana sekolah kerajaan dan swasta.

Sebelum ini, permohonan bantuan itu dibuka kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Mubaligh, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Agama Rakyat / Sekolah Rendah Agama Integrasi (berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor).

Kini, permohonan bantuan dibuka kepada Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan di Selangor yang boleh dimohon secara dalam talian.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.