Suara

COVID-19
18/8/20
Isu
Bantuan
Selangor

Selangor Kini : Covid-19 jejas pelbagai industri, cabaran kesihatan dan makanan

*Dari Kaca Mata MB yang disiarkan dalam akhbar SelangorKini edisi 13-19 Ogos 2020

Krisis Covid-19 seolah-olah seperti menekan butang susun semula dalam pelbagai aspek hidup kita secara langsung ataupun tidak.

Antara cabaran terhebat yang akan kita hadapi adalah kelangsungan bekalan makanan terutama dalam persediaan menghadapi kemungkinan ombak baharu kes Covid-19.

Kelangsungan bekalan makanan mengambil kira beberapa aspek; kestabilan bekalan, kos pengeluaran, akses kepada makanan dan penggunaan makanan.

Aspek-aspek ini secara langsung dan tidak memberi kesan kepada kita semua dari segi kemampuan membeli, menyediakan pemakanan seimbang serta menjamin kesihatan rakyat.

Bagi pihak kerajaan pula, cabaran kelangsungan makanan memberi dampak kepada perancangan jangka masa pendek dan sederhana dari segi rantaian bekalan makanan serta dasar kesihatan yang melibatkan kekurangan zat makanan dalam jangka panjang.

Kebergantungan sumber

Krisis Covid-19 menunjukkan dengan jelas dampak negatif yang ditanggung sesebuah syarikat ataupun negara yang terlalu bergantung kepada sumber luar akibat ketiadaan sumber sendiri yang mencukupi.

Saya mengambil contoh peralatan perlindungan peribadi seperti sarung tangan, pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan pakaian khusus untuk para doktor dan jururawat.

Sewaktu virus Covid-19 mula merebak, negara-negara yang tidak menghasilkan peralatan perlindungan peribadi di negara sendiri terus mengalami kekurangan bekalan tersebut kerana berada dalam situasi perintah berkurung.

Negara-negara pengeluar pula terpaksa mengurangkan separuh daripada kadar pengeluaran mereka bagi mengawal kadar perebakan virus ini.

Kerana itulah mungkin antara penyebab mengapa pelitup muka tidak diwajibkan bagi orang awam pada awalnya memandangkan peralatan tersebut lebih diutamakan buat petugas barisan hadapan.

Kini, data sains menunjukkan betapa pelitup muka mampu mengurangkan kadar titisan-titisan merebak dari seseorang kepada orang lain.

Walaupun situasi bekalan makanan dunia dan negara kita kelihatan terjamin sewaktu Covid-19, krisis yang mempunyai jangka masa lebih panjang mampu mencabar kelangsungan bekalan makanan negara dan dunia.

Krisis pascawabak

Pada bulan lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan bahawa kelangsungan bekalan makanan akan menjadi cabaran pasca Covid-19 jika langkah-langkah tertentu tidak diambil.

Laporan bersama Pertubuhan Kesihatan Dunia, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) dan Program Makanan Sedunia memberi amaran bahawa kekurangan bekalan makanan akan menyebabkan kekurangan zat makanan khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Dan situasi ini bakal menjadi lebih teruk dalam jangka panjang kerana hospital dan sistem kesihatan sesebuah negara akan lebih tertekan.

Kekurangan zat makanan yang kini melibatkan 690 juta orang di seluruh dunia dijangka meningkat drastik kepada 840 juta pada 2030.

Tambahan pula, laporan itu menggunakan istilah kekurangan makanan berkhasiat yang akan mengubah diet seharian kita kerana faktor kos yang tinggi, dan ini akan menyebabkan ramai daripada kita tidak mampu mendapatkan makanan yang sihat.

Ini juga akan memberi kesan kepada perbelanjaan kesihatan bagi masyarakat terutama kanak-kanak yang mungkin mengalami pertumbuhan terbantut.

Menurut Unicef, satu daripada lima kanak-kanak mengalami pertumbuhan terbantut dan situasi ini lebih kritikal dalam kalangan miskin bandar.

Dan antara sebab utama perkara ini berlaku adalah kekangan keupayaan membeli makanan berkhasiat seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan untuk memastikan anak-anak kita mempunyai diet seimbang.

Cabaran ini tidak boleh diambil ringan kerana kesannya agak ketara kepada anak-anak kita.

Sebab itu, Kerajaan Negeri meletakkan kelangsungan bekalan makanan antara fokus utama dalam pelan pemulihan ekonomi yang telah saya umumkan pada bulan lalu.

Perkasa sektor tani

Pelan ini bertujuan memberi penelitian khusus untuk memastikan Selangor dapat memberdaya masyarakat petani, penternak dan nelayan untuk mengajak mereka supaya bersama-sama menangani cabaran yang kita hadapi.

Saya melihat peranan masyarakat ini amat penting kerana ia mampu menjadikan Selangor sebagai bekalan makanan mandiri dan mengurangkan kebergantungan kita kepada sumber luar, terutama saat krisis seperti Covid-19.

Usaha-usaha seperti ini dapat membina dan melengkapkan rantaian bekalan makanan dari kawasan pinggir bandar ke bandar, mengurangkan kos pengeluaran makanan serta kos penjualan makanan untuk mencipta situasi ‘menang-menang’ bagi semua.

Antara langkah lain yang diambil oleh Kerajaan Negeri adalah menerusi platform Selangor Digital e-Supply Chain ataupun Seldec bagi memecahkan peranan kartel-kartel yang sebelum ini meraih keuntungan besar sebagai orang tengah antara pengusaha tani dan nelayan dengan pembeli.

Seldec serta usaha lain seperti Pasar Agro Selangor berteras konsep pertanian komuniti mampu menyediakan barangan segar dan selamat pada kos yang mampu dibeli oleh semua.

Inisiatif-inisiatif sebegini bukan sahaja bakal menjamin bekalan makanan kita, malah sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi dengan memberi peluang kepada banyak pihak untuk turut sama mengambil bahagian dalam kek ekonomi yang tersedia buat semua.

Ditambah dengan pendigitalan yang giat dijalankan, usaha menjamin keberlangsungan makanan juga dapat mengelakkan rintihan orang ramai yang mengeluh berkenaan kesusahan berniaga seperti yang kita dengar baru-baru ini di Sungai Buloh dan menanganinya dengan lebih positif.

Diharapkan dengan tujuan ini, lebih ramai menceburi bidang agropreneur serta yang berkaitan. Orang ramai digesa mengambil manfaat daripada kemudahan dan geran berkaitan, sama ada melalui pinjaman mikrokredit Hijrah Selangor dan lain-lain.

Kerajaan Negeri sedar betapa usaha sebegini harus dipertingkatkan lagi dengan keterlibatan industri, kerjasama negeri-negeri lain serta sokongan kerajaan persekutuan bagi menjadikan kelangsungan bekalan makanan kita sentiasa terjamin dan tidak berada dalam keadaan berisiko jika dihadapkan dengan krisis baharu.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.