Suara

Peristiwa
29/9/21
Selangor
Bantuan

Selangor Kini: 7,000 pelajar dapat internet percuma setahun mulai 1 Oktober

SHAH ALAM, 28 SEPT: Seramai 7,000 pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dari 10 daerah bakal menikmati data internet percuma selama setahun mulai 1 Oktober.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif Data Internet Selangor memudahkan golongan berkenaan mengulang kaji pelajaran sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Pejabat pendidikan daerah akan mengenal pasti anak-anak yang layak untuk menerima manfaat internet percuma ini yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

“Pelajar ini akan mendapat 15 gigabit internet setiap bulan dan boleh mula aktifkan kad itu mulai 1 Oktober. Semoga ia membantu mereka dalam pembelajaran,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas menyerahkan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma kepada wakil pejabat pendidikan di kediaman rasminya di sini hari ini.

Daerah terlibat ialah Gombak, Petaling Utama, Petaling Perdana, Sepang, Klang, Hulu Langat, Kuala Langat, Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Pada 4 Ogos, Amirudin memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati data internet percuma merangkumi pelajar PTRS, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.