Selangor International Business Summit SIBS@ASEAN 2026
Selangor International Business Summit (SIBS) buat julung kalinya melangkah keluar dari Selangor dan Malaysia menerusi SIBS@ASEAN 2026 Bandung Edition hari ini
Turut bersama-sama dalam Majlis Peluncuran SIBS@ASEAN 2026 pagi ini, Wakil Gubernur Jawa Barat, Bapak H. Erwan Setiawan, S.E., Wali Kota Bandung, Bapak Muhammad Farhan, dan seluruh delegasi dari Selangor dan Malaysia bersama-sama dengan peserta dari Indonesia.
Dalam ucapan, saya tekankan kekuatan ASEAN tidak hanya dibina di peringkat nasional, tetapi juga melalui kerjasama erat antara wilayah, negeri dan bandar. Selangor dan Jawa Barat mempunyai peranan besar sebagai pemacu ekonomi negara masing-masing, justeru hubungan ini perlu terus diperkukuh.
Malaysia dan Indonesia perlu menjadi ketumbukan yang padu dalam membina rantau yang stabil, aman dan makmur. Dengan kekuatan lebih 700 juta penduduk, ASEAN mempunyai segala potensi untuk muncul sebagai blok ekonomi yang lebih berpengaruh dan berdaya tahan di tengah ketidaktentuan global. Kekuatan Nusantara inilah yang perlu kita manfaatkan bagi menjadikan ASEAN lebih bersatu dan lebih kukuh.
Selangor dan Jawa Barat juga berkongsi aspirasi yang sama ke arah industri bernilai tinggi dan berteknologi. Persamaan ini membuka ruang kerjasama yang luas dalam sektor mobiliti, automotif, aeroangkasa, pendidikan dan pelancongan perubatan.
Majlis ini turut menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan Letter of Intent (LoI) melibatkan sektor pendidikan, pembangunan bakat, pelancongan, penjagaan warga emas serta reka bentuk cip semikonduktor, sebagai bukti komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh kerjasama Selangor–Jawa Barat.
Semoga SIBS@ASEAN menjadi titik permulaan kepada hubungan ekonomi yang lebih kukuh antara Selangor dan Jawa Barat, sekali gus mempererat persaudaraan Malaysia dan Indonesia demi masa depan ASEAN yang lebih gemilang.
Pohon jati teguh berdiri,
Tempat berteduh di tengah laman;
Muafakat diperkukuh setiap hari,
Kemakmuran ASEAN menjadi harapan.




















