Suara

Peristiwa
16/5/20
Perayaan

Selamat Hari Guru 2020 - Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu

Perutusan Hari Guru 2020

Asslamualaikum dan salam sejahtera,

Saya ingin menga,bik kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru 2020 kepada seluruh tenaga pengajar di Negeri Selangor Darul Ehsan.

Hari ini merupakan peluang bagi kita semua untuk berterima kasih kepada jasa dan usaha guru-guru yang sentiasa mendidik generasi muda di Selangor, dari tahap tadika hinggalah ke universiti.

Sambutan Hari Guru tahun ini datang dalam detik negara kita menghadapi cabaran yang paling hebat sejak selepas zaman Merdeka. Krisis virus COVID-19 telah menghentikan aktiviti-aktiviti biasa kita dan mendesak kita menyesuaikan diri kepada kebiasaan baharu ataupun ‘new normal’.

Dan sektor yang paling menerima impak akibat COVID-19 adalah pendidikan dan kerjaya para guru. Kita telah melihat pembukaan semula mengikut tahap bagi sektor ekonomi, agama dan sosial.

Namun begitu, wabak COVID-19 belum lagi mencapai tahap yang diperlukan untuk menyambung semula sesi persekolahan bagi generasi muda kita serta guru. Walaupun begitu, saya gembira melihat para guru yang mengambil inisiatif untuk mulakan transisi kepada pengajaran dalam talian ataupun e-learning.

Di Selangor juga, kita telah melancarkan platform e-learning melalui selangortutor.com untuk membantu pelajar kita terus mengembangkan ilmu dengan kebiasaan baharu. Usaha ini tidak mungkin berjaya tanpa bantuan dan pimpinan para guru di Selangor.

Bagi saya, walaupun COVID-19 dilihat sebagai titik sejarah yang getir, waktu ini juga harus dijadikan peluang yang direbut untuk mempercepatkan transisi sektor pendidikan ke arah digitalisasi.

Kita sudahpun melihat aktiviti harian seperti jual-beli makanan dan barangan runcit dijalankan melalui aplikasi telefon pintar. Usaha ini dapat meneruskan perkembangan ekonomi sambil memelihara kesihatan semua.

Namun, industri pendidikan tidak harus ketinggalan.

Tetapi, bukan itu sahaja. Sambil kita merancakkan perkembangan digitalisasi dalam pendidikan, saya juga berpendapat bahawa tenaga pengajar di Selangor dapat memainkan peranan penting supaya anak-anak kita bersedia menghadapi cabaran industri ini dan yang akan datang.

Misalnya, aspek sains data yang mendalami kurikulum _machine learning_ , _deep learning_ dan _quantum computing_ belum lagi menjadi fulkrum industri pendidikan di Malaysia.

Selain itu, aspek pemahaman yang lebih mendalam berkenaan masyarakat dan budaya amat penting bagi kita menghargai kemajuan tamadun serta membuka ruang kepada solusi yang dihadapi masyarakat seperti kesihatan mental dan psikologi.

Yang ketara, kerjaya guru adalah pekerjaan yang dapat mempunyai impak yang paling besar atas pembangunan sebuah negara.

Seperti kata Presiden John F. Kennedy, “Our progress as a nation can be no swifter than our progress in education.”

Selamat Hari Guru kepada anda semua!

*YAB Dato’ Seri Amirudin Shari*
Menteri Besar Selangor

Seterusnya
SELANGOR MAJU BERSAMA
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.