Sambutan Hari Penjaja & Peniaga Kecil Peringkat Negeri Selangor 2025
Alhamdulillah, malam semalam saya hadir merasmikan Sambutan Hari Penjaja & Peniaga Kecil Peringkat Negeri Selangor 2025 yang kini berlangsung di Putra Heights. Ini merupakan penganjuran julung kali di peringkat negeri, dengan MBSJ sebagai tuan rumah pertama.
Acara dua hari ini menampilkan pelbagai aktiviti termasuk pameran jualan, tayangan montaj penjaja digital, dapur PLATS bersama selebriti, persembahan UPM, Jualan Ehsan Rahmah serta penyampaian anugerah yang mengiktiraf inovasi, kebersihan dan kreativiti para penjaja.
Lebih 15,000 pengunjung dijangka hadir bagi menyokong para usahawan tempatan dalam kategori makanan, minuman, kraftangan, perkhidmatan dan produk buatan Selangor.
Melalui PLATS, hampir 100,000 peniaga kecil telah didaftarkan dalam ekosistem digital negeri sebagai salah satu usaha Kerajaan Negeri memperkukuh latihan, pasaran, pendigitalan dan sokongan mikro seperti sistem POS PLATS, skim pembiayaan Hijrah, geran DUMS serta program bimbingan U-PLATS yang turut membantu usahawan kecil memperoleh pensijilan Halal.
Semalam juga telah dilancarkan AGROPLATS Biaya Plus-i, sebuah skim pembiayaan mikro tanpa kadar keuntungan (0%) sehingga RM10,000 dengan tempoh 7 tahun. Satu kerjasama strategik MBI dan Agrobank untuk membuka peluang yang lebih luas kepada para usahawan kecil mengembangkan perniagaan mereka.
InsyaAllah, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui digitalisasi, latihan, bantuan serta sokongan pembiayaan bagi memastikan penjaja dan peniaga kecil terus menjadi pemacu ekonomi komuniti serta aset penting pembangunan negeri.






















