Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Selangor Tahun 2026
Laungan keramat “Merdeka!” sebanyak tujuh kali bergema di seluruh Stadium Kajang pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Selangor malam semalam.
Sambutan tahun ini turut menyaksikan perbarisan dan perarakan 69 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, NGO dan sekolah, selain pameran aset serta persembahan pasukan keselamatan negara. Lebih istimewa, enam anggota elit VAT 69 Komando buat julung kalinya mempamerkan aksi terjun dari ketinggian kira-kira 4,500 kaki.
Saya ucapkan tahniah kepada dua penerima Anugerah Tokoh Kemerdekaan Selangor 2026, Sjn (B) Bahari Ismail, pesara PDRM dan “wira hidup” yang terlibat dalam Ops Bamboo di Gerik pada tahun 1976 dan Tan Sri Dato’ Paduka Wan Mahmood Pawan Teh, yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Diraja Selangor dan Orang Besar Daerah Gombak atas jasa serta khidmat mereka.
Dalam ucapan, saya berpesan jika dahulu ancaman terhadap kemerdekaan hadir secara fizikal, hari ini cabarannya turut berada di ruang digital. Penipuan dalam talian, berita palsu, fitnah serta sentimen yang memainkan perbezaan dalam masyarakat mampu menimbulkan ketakutan, kebimbangan dan akhirnya memecah-belahkan rakyat.
Oleh itu, kita mesti membina sebuah negara dan bangsa yang berilmu serta berkeyakinan. Jangan kita menjadi bangsa yang mudah takut dan bimbang sehingga pemikiran kita boleh dipengaruhi dan dikuasai oleh pihak lain.
Kemerdekaan bukan sekadar mengenang sejarah perjuangan terdahulu. Ia menuntut kita mempertahankan kebebasan berfikir, memperkukuh perpaduan dan membina keyakinan sebagai sebuah bangsa untuk berdepan cabaran masa hadapan.
Selamat Hari Kebangsaan Ke-69 kepada seluruh rakyat Malaysia. Semoga semangat Merdeka terus hidup dalam jiwa setiap daripada kita.
Merdeka!





















