Qiamullail Perdana, Sahur & Solat Subuh Berjemaah di Masjid Al Azhar, Universiti Islam Selangor
Alhamdulillah, pagi ini Allah SWT mengizinkan saya bersama dengan mahasiswa dan tenaga pengajar Universiti Islam Selangor (UIS) menghidupkan malam Ramadan dengan qiamulail dan bersahur bersama. Turut hadir Naib Canselor UIS, Dato’ Prof. Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah serta Ahli Parlimen Hulu Langat, YB Tuan Mohd Sany Hamzan.
Kesempatan ini juga saya gunakan untuk beramah mesra dengan para mahasiswa, mendengar sendiri pengalaman mereka menjalani kuliah sepanjang bulan Ramadan. Seterusnya kami bersama-sama menunaikan solat Subuh berjemaah.
Usai solat Subuh, saya menyampaikan sedikit sumbangan kepada 50 orang mahasiswa UIS daripada kalangan asnaf sebagai usaha meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.
Sebelum berangkat pulang, saya turut meninjau kolam takungan di Bandar Seri Putra yang terletak kira-kira 10 meter dari pintu utama UIS. Hujan lebat kelmarin telah menyebabkan kolam tersebut melimpah dan mengakibatkan banjir di kawasan berkenaan.
Marilah kita bersama-sama merebut keberkatan dan ganjaran yang dijanjikan Allah SWT dengan memperbanyakkan amal sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.











