Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku & Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025
Alhamdulillah, saya berkesempatan hadir ke Majlis Penutup Program Rancakkan MADANI yang disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Penganjuran program berskala nasional ini berjaya menarik lebih 300,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran, satu pencapaian yang amat membanggakan dalam usaha Kerajaan MADANI menyantuni rakyat berbilang kaum.
Program ini bukan sahaja menghimpunkan seluruh lapisan masyarakat dalam satu platform, malah berjaya menjelaskan aspirasi, dasar serta menonjolkan pencapaian Kerajaan MADANI sepanjang 3 tahun pentadbiran dengan pendekatan turun padang yang inklusif.
Turut berlangsung Sesi Townhall Bersama YAB Perdana Menteri, yang memberi ruang kepada rakyat berinteraksi secara langsung bersama kepimpinan negara. Turut serta, dua Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan YAB Dato’ Seri Fadillah Yusof.
Program Rancakkan MADANI yang berlangsung dari 5 hingga 7 Disember, bersama Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025, jelas membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan, memperkenal inisiatif baharu dan mendekatkan kerajaan dengan rakyat.
Tahniah kepada seluruh warga penganjur atas penganjuran yang amat cemerlang.















