Inisiatif

Peristiwa
2/11/26
Isu
Selangor
Negara

Program Mega NutriSel 2026 di SRAI Seksyen 19, Shah Alam

Saya memulakan hari ini seawal jam 8 pagi di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Seksyen 19, Shah Alam bagi menyempurnakan Penyerahan Program Nutrisi Selangor (NUTRISEL & MEGANUTRISEL) 2026. Sekolah ini cukup dekat di hati saya kerana di sinilah anak-anak saya bersekolah, termasuk anak bongsu saya. Sudah tentu kunjungan kali ini terasa lebih istimewa buat saya.

Alhamdulillah, program NUTRISEL telah memberi manfaat kepada 104,640 murid di 932 sekolah seluruh Selangor, khususnya anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah. Inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan beban ibu bapa, malah memastikan anak-anak mendapat pemakanan berkhasiat agar lebih bertenaga dan fokus dalam pembelajaran.

Melihat sambutan yang menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan inisiatif ini melalui MEGANUTRISEL yang memanfaatkan hampir sejuta murid menerusi pemberian susu dan roti. Insya-Allah, hampir 70,000 calon SPM 2026 turut menerima makanan tengah hari sepanjang peperiksaan bagi mata pelajaran teras.

Di SRAI Seksyen 19 sahaja, seramai 37 murid menerima manfaat NUTRISEL dan 1,321 murid melalui MEGANUTRISEL. Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan RM50,000 bagi kerja baik pulih fasiliti bilik darjah sekolah ini menerusi Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2026 yang menyediakan peruntukan keseluruhan RM30 juta.

Sebagai seorang bapa, saya memahami betapa pentingnya pemakanan yang baik dan persekitaran pembelajaran yang selesa buat anak-anak. Harapan saya agar setiap anak Selangor mendapat peluang yang sama untuk menimba ilmu, membesar dengan sihat dan mencapai cita-cita mereka. Kerana masa depan Selangor bermula daripada anak-anak yang kita didik dan pelihara hari ini.

‍

No items found.
Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.