Program MADANI Kita (PMK) Bersama Komuniti Ampang Jaya Tahun 2026
Hari ini saya berada di Ampang, bersama-sama dalam Program MADANI Kita (PMK) Bersama Komuniti Ampang Jaya 2026. PMK merupakan penjenamaan semula Program MADANI Rakyat (PMR) dengan pendekatan lebih bersasar berdasarkan keperluan, demografi dan isu setempat.
Program ini menjadi medan penting untuk saya mendekati masyarakat, mendengar pandangan serta memahami permasalahan yang dihadapi penduduk. Setiap isu yang dibangkitkan oleh rakyat Ampang akan diberikan perhatian dan diselaraskan bersama agensi berkaitan agar tindakan sewajarnya dapat diambil.
Menerusi ucapan saya, saya menekankan bahawa perpaduan merupakan asas kepada kemajuan Selangor. Selaras dengan semangat #KitaSelangor Maju Bersama dan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026–2030, kemajuan bukan sahaja diukur melalui pertumbuhan ekonomi dan pembangunan fizikal, tetapi juga melalui hubungan sosial yang kukuh, Kerajaan yang responsif serta kesejahteraan yang dirasai bersama.
Terdapat lebih 34 reruai yang menawarkan pelbagai aktiviti dan perkhidmatan, termasuk rewang komuniti, NADI E-Sukan, perkhidmatan agensi kerajaan, jualan usahawan dan Program Komuniti Belia bersama KRT Zon Ampang. Semangat kebersamaan turut disemarakkan menerusi Konvoi Kempen Kibar Jalur Gemilang: 1 Rumah 1 Jalur Gemilang yang melibatkan 100 peserta dan 50 buah motosikal daripada gabungan KRT Lembah Jaya dan Bukit Antarabangsa.
Sebagai tanda keprihatinan Kerajaan MADANI, cek cura Sumbangan Khas YAB Perdana Menteri bernilai RM10,000 turut disampaikan kepada 10 KRT di Ampang, selain lima Bakul RAHMAH kepada penerima yang memerlukan. Semoga usaha ini terus memperkukuh perpaduan, menyemai semangat saling peduli dan memastikan setiap lapisan masyarakat Ampang dapat maju serta menikmati kesejahteraan bersama.

















