Program Jerayawara Siswa KITASelangor (JSS).
Malam semalam dari Keramat, saya terus ke Tanjung Malim untuk bersama-sama dengan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam program Jerayawara Siswa KITASelangor (JSS).
Selepas di UMS Sabah, USM Pulau Pinang, IPG Bangi dan UMPSA Pahang, UPSI menjadi universiti awam keempat disantuni Kerajaan Negeri menerusi JSS. Kali ini dalam suasana Aidilfitri.
Seramai lebih 500 mahasiswa Selangor hadir memeriahkan program ini. Saya sempat berkongsi pesan tentang pentingnya mahasiswa, khususnya bakal pendidik, untuk berdaya tahan dan bijak menyesuaikan diri dengan cabaran zaman demi masa depan anak bangsa.
Saya juga berkongsi bagaimana Kerajaan Negeri menanggapi pelbagai isu, antaranya insiden letupan paip gas di Putra Heights baru-baru ini dan pengurusan Covid hasil kerjasama pelbagai agensi.
Insya-Allah, menerusi JSS ini, jaringan komunikasi antara komuniti mahasiswa Selangor akan terus diperkukuh agar kebajikan mereka sentiasa terpelihara, selain memastikan segala inisiatif Kerajaan Negeri disampaikan terus kepada golongan muda dan mahasiswa.
Terima kasih kepada penggerak program terutamanya Majlis Mahasiswa Anak Selangor (MaSel) UPSI, yang dipandu oleh Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri menerusi Sekretariat Pembangunan Mahasiswa Negeri dan GPMS Negeri Selangor.
Tabik hormat saya buat Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Mohd Amin Md Taff serta seluruh pengurusan UPSI yang sangat sempoi dan sentiasa menyokong penganjuran program mahasiswa seperti ini.
Turut hadir, YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, yang juga alumni UPSI memberi sokongan beliau kepada mahasiswa UPSI dan agenda pembangunan anak muda.
Insya-Allah, JSS akan teruskan lagi ke Zon Selatan pula tak lama lagi. Nantikan!




