Pesta Kopi Melawati 2025 & Perasmian Lorong Seni Jalan Negara Kita
Dari budaya pop Amerika ke pekan-pekan kecil di Malaysia, budaya kopi bukan sahaja mencetuskan gaya hidup baru, malah menjadi jambatan menyatukan komuniti setempat.
Melawati kini dikenali sebagai antara kawasan yang aktif dengan budaya kopi tempatan, dengan lebih 30 pengusaha kopi beroperasi di sini. Hari ini, seramai 15 pengusaha kopi tempatan mengambil bahagian dalam Pesta Kopi Melawati 2025 membuktikan potensi besar industri ini dalam menggerakkan ekonomi komuniti.
Dalam masa yang sama, saya meluncurkan Lorong Seni Jalan Negara Kita yang menghidupkan ruang bandar dengan pelbagai program seni seperti bacaan puisi, busking, seni kraftangan, dan banyak lagi aktiviti seni menjadikan lorong ini sebagai nadi kreatif baharu di Ampang Jaya.
Dengan sokongan berterusan kepada usahawan mikro dan kreatif, saya berharap satu hari nanti Selangor mampu berdiri setaraf dengan negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam dalam mengetengahkan industri kopi tempatan di peringkat serantau dan global.
Tahniah kepada MPAJ, Pejabat DUN Hulu Kelang dan semua rakan kolaborator. Selangor terus komited membina bandar yang mampan, inklusif dan berbudaya.









