Inisiatif

COVID-19
23/5/20
Selangor
Isu

Perutusan Syawal 1441H

Perutusan Syawal 1441H

Alhamdulillah saat ini kita sudah berada di hari terakhir Ramadhan. Bulan mulia ini juga dianggap sebagai bulan latihan jiwa dan mengukuhkan kesabaran. 10 hari terakhir ini, kita dinasihatkan untuk menjadikannya sebagai medan mujahadah bagi setiap dari kita yang mahu mencicip rahmat, keampunan dan kesejahteraan yang dijanjikan-Nya pada Malam Al-Qadr sehingga fajar menjelma walau hanya untuk sesaat.

Ibadah puasa di samping amukan Covid-19 pada tahun ini menghilangkan beberapa kebiasaan Ramadan yang lalu: Ramadan dan ibadah puasa tanpa undangan jamuan layan diri  berbuka puasa besar-besaran bersama anak yatim mahupun fakir miskin di hotel lima bintang yang bernilai ratusan ringgit satu kepala dengan mengharap “keberkatan”—cukup berbuka bersama yang tersayang di rumah. Tiada sumbangan bersama replika cek yang besar-besar: program-program yang asalnya mempromosi kebaikan tetapi lama kelamaan mampu melahirkan pula kepura-puraan yang akhirnya  mungkin membawa kepada pembaziran.

Dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutus rantaian Covid-19, tahun ini juga tiada solat terawih beramai-ramai di masjid dan surau yang dipimpin oleh imam jemputan berdarah Arab baik dari Palestin mahu pun Mekah, sambil sebahagian kita memperagakan kain pelikat, jubah terkini ataupun telekung elit yang pasti mahal, mengerlip, yang kadangkala sehingga melahirkan perbuatan banding-membanding antara kita, walaupun asalnya perkumpulan itu tidak lain ialah untuk menghidupkan malam Ramadan dengan ibadah sebagaimana seruan rasul junjungan.

Di tengah ancaman Covid-19, yang tinggal adalah nikmat kebersamaan dengan keluarga. Seorang ibu puas dapat memasak buat anak-anak dan suami; seorang bapa pula dapat mengimami solat isya’ dan terawih. Paling tidak, kita mempunyai kesempatan menyantuni jiran tetangga yang dekat dengan berkongsi makanan dengan mereka atas kekangan PKP yang ada. Tidak salah menyantuni anak yatim-anak yatim dalam jamuan berbuka yang enak dan meriah. Tetapi dalam Islam juga terdapat anjuran untuk menyantuni jiran sendiri seperti hadis Nabi S.A.W yang bermaksud ”Tidak termasuk orang mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan” (Hadis riwayat At-Tabrani No. 12579).

Dalam kita berdepan dengan wabak yang merata-rata dan tidak putus-putus kemaraannya, kita harus bersyukur masih lagi dapat berpuasa, berbuka dan berterawih dengan penuh kejujuran dan beribadat tanpa sebarang cubaan menunjuk-nunjuk yang bukan-bukan.
 
Begitulah juga dengan cara kita berhari raya. Kebiasaannya, orang berbondong-bondong balik kampung, sebahagiannya dengan maksud tersirat untuk membandingkan anak siapa lebih berjaya, menantu mana yang bergaya, sehinggakan silaturahim tinggal menjadi permukaan sahaja.

Dalam 10-15 tahun kebelakangan ini, perlahan-lahan budaya takbir raya rumah ke rumah mahupun marhaban ‘disewakan’ kepada kumpulan jemaah tegar dengan anak-anak berkira-kira duit raya rumah mana yang ‘mantul’ (mantap betul – menurut istilah generasi Bigo). Budaya kunjung-mengunjung yang bercirikan ukhuwah adakala cair dalam gemerlap perhiasaan dan kebendaan, jauh meninggalkan pengukuhan hubungan keluarga dan kejiranan.

Kegilaan glamor dan budaya konsumerisme berlebihan telah benar-benar mengherotkan nilai kehidupan yang baik dalam rutin seharian, termasuk dalam konteks ibadah kepada Tuhan. Covid-19 dianggap ancaman kepada kelestarian hidup, namun ternyata ia juga mampu mengembalikan kita kepada norma yang mulia ataupun kepada kebiasaan yang boleh juga kita sebut sebagai “the real normal” yang sewajarnya dibiasakan.

Benar, Covid-19 meresahkan dan menyusahkan. Tidak perlu diulang kebiasaan-kebiasaan baharu yang menjengkelkan. Namun, ia juga merupakan wadah terbaik kita untuk bermuhasabah dan kembali kepada fitrah kemanusiaan dalam menempuh kehidupan.

Bagi saya, mungkin inilah makna kemenangan kembali kepada fitrah setelah sebulan berjuang di medan Ramadan.

Walau bagai mana sekali pun, nilai kekeluargaan dan kesepakatan kejiranan harus dikekalkan. Walaupun tidak ada lagi kunjung-mengunjung dan rumah terbuka, tetapi dengan saluran dalam talian, ia masih boleh dikekalkan dengan harapan kita sedar tentang fitrah yang saya sebutkan tadi.

Selamat Hari Raya. Selamat kembali kepada Fitrah. Minal Aidil Wal Faizin. Maaf zahir dan batin

YAB Dato’ Seri Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor

[Baca kenyataan akhbar di sini]

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.