Suara

Ucapan
30/7/20
Selangor
Perayaan

Perutusan Aidiladha 1441H

Assalamualaikum w.b.t,

Wabak Covid-19 yang melanda telah membawa seribu satu kepayahan dan kesukaran kepada kita semua umat manusia. Namun, Allah SWT yang Maha Bijaksana sudah pasti lebih mengetahui hikmah-Nya kepada kita semua, dan rahsia-Nya sentiasa meletakkan kita dalam keadaan bersedia untuk diuji serta pengorbanan yang dituntut sebagai hamba-Nya.

Hari Raya kali ini dirasakan sangat berbeza kerana sangat sedikit umat Islam di seluruh dunia yang dapat 'naik haji' di tanah suci--hanya terhad kepada mereka yang betul-betul bertuah untuk menjadi tetamu-Nya. Tiada perjalanan keluh-kesah ke KLIA bagi menghantar jemaah secara berbondong-bondong, juga kisah-kisah menghairankan dikongsi sesama sanak saudara dalam Whatsapp group dengan meluas.

Semua tunduk dan patuh mengakui kebesaran-Nya dalam penuh keinsafan dan tawaduk betapa kerdil dan tiada daya upayanya kita tanpa Dia, dalam mengharungi musuh yang begitu seni untuk dilihat, yakni virus Covid-19.

Pun begitu, kedudukan Hari Raya Aidiladha sebagai yang lebih utama daripada dua hari kebesaran Islam wajar untuk kita telusuri. Selain daripada mengingati kisah pengorbanan junjungan tertua kita Nabi Ibrahim A.S dan kisah keluarga baginda yang diberkati, Hari Raya Haji ini juga sangat dekat dengan budaya mantai dalam menguruskan daging korban dan kegiatan gotong-royong  yang menjadi ikatan asas dalam masyarakat kita.

Walaupun berhadapan dengan SOP yang agak ketat, alhamdulillah ibadah korban tetap dapat dijalankan tahun ini di bumi Malaysia. Dapatlah kita menyantuni mereka yang kurang bernasib baik dan berkongsi kegembiraan sesama kita di hari kebesaran umat Muhammad ini.

Ternyata, Islam begitu revolusioner dan tidak pernah mengesampingkan sesiapa pun antara umatnya, malah untuk masing-masing termasuk fakir dan miskin punya bahagiannya dalam pembahagian serta pengedaran daging korban.

Begitu juga yang saya impikan untuk wilayah merah kuning ini: sebuah negeri baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur yang sentiasa memacu kesejahteraan untuk semua--inti kepada gagasan Selangor Maju Bersama.

Di kesempatan ini, saya ingin menganjurkan sedikit permintaan kecil pada tuan-puan semua untuk kita menzahirkan rasa kerinduan pada tanah suci untuk bersama-sama 'berkorban' menahan lapar dan dahaga dengan menjalani ibadah puasa pada Hari Arafah esok sebagai suatu tanda simbolik atas solidariti kita bersama para jemaah haji yang menjalani kemuncak ibadah rohani dan jasmani ini di sebalik perebakan wabak yang mengganas.

Akhir sekali, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha buat anda semua warga Selangor. Izinkan saya menzahirkan sekali lagi rasa terima kasih yang tak terhingga saya kepada para barisan hadapan kita--our frontliners--atas pengorbanan mereka semenjak fasa pertama PKP sehingga kini.

YAB Dato' Seri Amirudin Shari
Dato' Menteri Besar Selangor

Muat turun teks perutusan di sini

Seterusnya
SELANGOR MAJU BERSAMA
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.