Pertandingan Kawad Kaki Badan Beruniform Piala Dato’ Menteri Besar Selangor 2026
Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Piala Dato’ Menteri Besar Selangor kini memasuki penganjuran tahun ketiga. Alhamdulillah, sambutan yang diterima terus memberangsangkan apabila sebanyak 94 pasukan mewakili 10 daerah di seluruh Selangor dengan penyertaan seramai 5,906 peserta telah mengambil bahagian pada tahun ini.
Tahniah kepada semua peserta yang telah memberikan komitmen dan semangat terbaik sepanjang pertandingan berlangsung. Sama ada bergelar juara atau tidak, setiap peserta telah membuktikan bahawa disiplin, ketahanan, semangat berpasukan dan keazaman merupakan asas penting dalam membentuk jati diri seorang pemimpin.
Ini adalah medan membentuk sahsiah dan kepimpinan. Dalam setiap arahan yang dipatuhi, terserlah nilai disiplin. Dalam setiap langkah yang diselaraskan, terpancar semangat kerjasama. Dalam setiap latihan yang diulang berkali-kali, lahir ketabahan dan kesungguhan. Nilai-nilai inilah yang akan membentuk generasi Selangor yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berintegriti, berakhlak mulia dan bersedia memimpin masa hadapan.
Tahniah juga kepada ibu bapa, guru pembimbing, jurulatih serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan pertandingan ini. Kejayaan anak-anak hari ini lahir daripada sokongan sebuah ekosistem yang saling melengkapi.
Semoga anak-anak Selangor terus menjadi generasi yang berilmu, berakhlak, berdaya saing serta mampu mengharumkan nama negeri dan negara.



















