Perhimpunan Penjawat Awam Dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor Tahun 2026
Pagi ini saya bersama warga penjawat awam negeri dalam Perhimpunan Penjawat Awam dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam. Bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, program ini menjadi pemangkin semangat Bulan Kebangsaan serta menyemarakkan rasa cinta kepada negara.
Dalam ucapan, saya berkongsi berita yang membanggakan apabila Selangor terus mencatat prestasi ekonomi yang memberangsangkan dengan nilai KDNK mencecah RM460.1 bilion, menyumbang 26.5% kepada ekonomi negara. Dengan momentum ini, Selangor berada pada landasan terbaik untuk muncul sebagai negeri pertama yang mencapai nilai ekonomi RM500 bilion.
Tahun ini juga amat bermakna apabila Selangor bakal melakar sejarah sebagai tuan rumah SUKMA XXII, buat julung kalinya di bawah pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, selepas kali terakhir menganjurkan temasya ini pada tahun 1998.
Hari Kebangsaan bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi ruang untuk memperkukuh semangat patriotisme, memupuk perpaduan serta memperbaharui iltizam kita untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Selamat Menyambut Bulan Kebangsaan 2026. Ayuh kibarkan Jalur Gemilang dan hayati erti kemerdekaan dengan memperkukuh perpaduan, mengangkat kecemerlangan serta bersama-sama membina Selangor yang terus maju dalam kerangka Malaysia MADANI.



















