Perbincangan Pembangunan Kilang Automotif Chery di Beringin HTA Valley Bersama Chery Malaysia & Pihak TNB
Petang tadi saya mempengerusikan perbincangan antara Chery Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi pembangunan Beringin High-Tech Auto Valley (Beringin HTA Valley).
Perbincangan ini memberi tumpuan kepada keperluan bekalan elektrik yang stabil daripada pihak TNB sebagai asas utama untuk memastikan pembangunan serta operasi kilang industri dapat berjalan lancar dan mampan. Usaha ini juga selari dengan peranan Invest Selangor dalam menarik lebih banyak pelaburan asing ke Selangor.
Chery Smart Auto Industrial Park ialah projek teras fasa pertama seluas 200 ekar yang bakal membawa teknologi automotif terkini, pelaburan strategik serta tenaga kerja berkemahiran tinggi ke Hulu Selangor, dengan sasaran pengeluaran awal 100,000 kenderaan setahun dan pelaburan bernilai RM2.2 bilion dalam tempoh lima tahun, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi.
Saya berharap pembangunan ini menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di Koridor Utara Selangor, iaitu Hulu Selangor, membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama.








