Perbahasan Belanjawan Madani 2026
Gombak hari ini mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat.
Semasa perbahasan, saya menyentuh beberapa perkara penting termasuk komitmen terhadap masa depan pendidikan dan TVET negara. Saya menegaskan bahawa pendidikan perlu dilihat melalui pendekatan whole-of-society, bukan dengan meletakkan beban sepenuhnya kepada satu pihak sahaja.
Pendekatan ini menuntut kerjasama erat antara komuniti, pakar bidang, ibu bapa serta guru untuk membentuk generasi muda yang berakhlak, berwawasan dan berdaya saing. Antara aspek penting yang perlu diperhalusi termasuklah sistem pintar pendidikan, semakan semula tangga gaji, serta pengukuhan peranan PIBG agar lebih efektif dan inklusif.
Dalam konteks TVET, saya menyambut baik langkah kerajaan memperkukuh ekosistem ini ke arah Advanced TVET yang lebih tersusun dan berfokus. Cadangan Gombak adalah supaya pelajar sekolah menengah diberikan pendedahan langsung di kilang atau pusat pembuatan berteknologi tinggi contohnya melalui program seminggu semasa cuti persekolahan bagi meningkatkan kesedaran dan minat terhadap bidang kemahiran serta peluang kerjaya masa depan.
Saya turut menekankan strategi mengurangkan kadar Non-Revenue Water (NRW) melalui penerapan teknologi baharu seperti yang dilaksanakan di Selangor. Selangor telah melaksanakan pelan menyeluruh termasuk penggantian paip lama di kawasan berisiko tinggi, pemasangan smart meter di kediaman serta sistem pemantauan tekanan air secara masa nyata bagi mengesan kebocoran lebih awal. Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan air dan kos operasi, tetapi juga menjadi model pengurusan mampan yang boleh dicontohi negeri lain.
Gombak turut menzahirkan sokongan terhadap keanggotaan Timor-Leste sebagai ahli ASEAN ke-11, dan keyakinan bahawa rantau ini mampu menjadi model kejayaan ASEAN yang adil, stabil dan berdaya saing.
Segala pandangan dan teguran ini berpaksikan semangat untuk memastikan pembangunan negara terus inklusif, mampan dan berpandangan jauh.









