Perasmian Penyampaian Sumbangan Ramadan & Penyerahan Bakul Makanan Program PRESMA di Gombak
Memenuhi jemputan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) untuk merasmikan penyampaian Sumbangan Ramadan dan Penyerahan Bakul Makanan yang turut melibatkan kerjasama Yayasan MBI, Jasmine dan Nestlé di Dewan Sri Siantan, Sungai Tua.
Program ini menyantuni hampir 1,000 penerima dalam kalangan warga emas, anak-anak yatim serta individu yang memerlukan. Inisiatif seperti ini amat bermakna, khususnya dalam bulan Ramadan yang mengajar kita erti berkongsi rezeki dan memperkukuh nilai kebersamaan dalam masyarakat. Semangat inilah yang sering saya tekankan melalui prinsip “No One Left Behind” memastikan tiada siapa yang tercicir daripada perhatian dan bantuan.
Saya juga dimaklumkan bahawa rangkaian restoran di bawah PRESMA antara yang terbesar berada di negeri Selangor, selain Pulau Pinang, selari dengan faktor demografi dan kepadatan penduduk yang membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi setempat.
Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus komited menyokong usaha yang memperkukuh ekonomi tempatan dan kesejahteraan komuniti. Yang paling utama, setiap inisiatif dan dasar yang digerakkan sentiasa meletakkan kepentingan serta kebajikan rakyat Negeri Selangor sebagai keutamaan.














