Inisiatif

Peristiwa
4/5/26
Isu
Selangor
Negara

Perasmian Kompleks Hangar Impeccable Vintage Properties

Alhamdulillah, hari ini satu detik penting terlakar dalam perjalanan sektor aeroangkasa Negeri Selangor dengan Majlis Perasmian Kompleks IVP, yang kini menempatkan fasiliti Maintenance, Repair and Overhaul (MRO) bertaraf tinggi.

Perasmian ini bukan sekadar menghidupkan semula sebuah kompleks yang sekian lama tidak beroperasi secara aktif, tetapi juga mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Selangor 2020–2030 sebagai pemacu pertumbuhan sektor ini.

Dengan lebih 67% pemain industri aeroangkasa berpusat di Selangor, potensi negeri ini untuk muncul sebagai hab aeroangkasa utama di rantau Asia Tenggara amat besar. Usaha IVP mengaktifkan semula operasi hangar di Subang adalah langkah tepat dan strategik dalam memperkukuh kedudukan ini.

Tahniah kepada IVP atas komitmen yang berterusan. Dengan pengoperasian fasiliti utama seperti hangar, Engine Ground Run (EGR) Bay serta kemudahan sokongan, Kompleks IVP kini memperkukuh kapasiti sektor MRO negara.

Kehadiran pemain industri seperti GE Engine Services Malaysia (GEESM), bersama MABES dan BMM, membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi Subang sebagai pusat aeroangkasa yang kompetitif di peringkat global.

Lebih membanggakan, fasiliti EGR Bay yang tersedia merupakan satu-satunya di Malaysia yang mampu menjalankan ujian enjin secara on-wing, termasuk bagi pesawat bersaiz besar seperti Boeing B777 dan Airbus A350 sekaligus meningkatkan daya saing kita di peringkat serantau.

Pembangunan ini turut menekankan aspek kelestarian melalui penggunaan sistem cekap tenaga, pengurusan air mampan serta mitigasi banjir selari dengan agenda pembangunan bertanggungjawab dan mampan Negeri Selangor.

Dalam jangka panjang, Kompleks IVP dijangka menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi, memperluas rantaian bekalan industri serta mewujudkan limpahan ekonomi kepada rakyat.

Sebanyak 1,543 peluang pekerjaan bakal diwujudkan, termasuk 892 jawatan berkemahiran tinggi melibatkan jurutera dan juruteknik. Ini bukan sahaja membuka peluang kerjaya berkualiti, malah memperkukuh kedudukan tenaga kerja tempatan dalam sektor aeroangkasa.

Kerjasama dengan institusi TVET serta keperluan pensijilan melalui CAAM turut memastikan pembangunan bakat tempatan sentiasa relevan dan berdaya saing.

Pelancaran Kompleks IVP hari ini adalah isyarat jelas bahawa Selangor serius dalam merancakkan sektor aeroangkasa negara, setanding dengan piawaian antarabangsa.

No items found.
Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.