Peneroka Felda Sungai Buaya

Lebih tiga dekad penantian, akhirnya satu lembaran baharu terbuka buat 363 bekas peneroka Felda Sungai Buaya. Bulan lalu, kemelut pampasan tanah bernilai RM74.2 juta yang tertangguh sejak tahun 1994 akhirnya diselesaikan sepenuhnya oleh Murna Jaya Development (MJD) Berhad.
Perjalanan ini panjang dan penuh liku. Ada yang menunggu sejak usia muda kini sudah mencecah lebih 80 tahun. Ada juga yang telah tiada namun perjuangan mereka tidak dilupakan. Kini, keadilan yang tertangguh akhirnya ditegakkan. Inilah hasil kesungguhan dan ketelusan yang kita usahakan bersama sejak 2018.
Kerajaan Negeri bersama MJD, Pejabat Tanah dan Galian serta Pejabat Penyelaras Parlimen Hulu Selangor dan Penyelaras DUN Batang Kali bekerja keras memastikan setiap peneroka mendapat hak yang sepatutnya. Bukan hanya bayaran, malah ini pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan sesiapa yang membangunkan tanah ini.
Dengan selesainya kemelut ini, Bandar Sungai Buaya kini bersedia melangkah ke fasa baru pembangunan. Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada perancangan pengezonan, kemudahan awam dan tapak ibadat agar kawasan ini berkembang seimbang antara kemajuan dan kesejahteraan rakyat.
Inilah erti sebenar perjuangan untuk rakyat. Kita bukan mahu tayang angka dan kejayaan saja, tetapi maruah, keadilan dan harapan mereka pun kita akan bela sebaiknya.



