Pendidikan berkualiti untuk anak-anak Selangor
Di Selangor, anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah ataupun yang tinggal di luar bandar berhak mendapat peluang yang sama rata untuk berjaya. Itulah antara tujuan Kerajaan Negeri menyediakan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Program Didik Kasih (PDK).
Gred Purata Negeri (GPN) SPM Selangor terus menunjukkan peningkatan berturut-turut daripada 4.67 pada 2023, kepada 4.59 pada 2024 dan kini 4.52 pada 2025. Angka ini membuktikan kejayaan ribuan pelajar yang duduk dalam kelas PTRS selepas waktu persekolahan dengan makan percuma disediakan serta guru berkelayakan di sisi mereka. Lebih 160,000 pelajar menengah dan 20,000 murid sekolah rendah telah menikmati manfaat ini.
Melalui PDK pula, kira-kira 17,000 murid yang memerlukan pemulihan asas literasi dan numerasi kini dibimbing menggunakan modul khusus yang dibangunkan sendiri oleh warga pendidik Selangor. Pada masa yang sama, saya turut gembira apabila kadar murid yang memerlukan kelas pemulihan semakin menurun. Ini bermakna asas mereka semakin kukuh sebelum menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah.
Pada tahun 2026, PTRS diperkasa lagi dengan tambahan modul Fizik dan Kimia selaras dengan matlamat memperkukuh pencapaian STEM. Platform ePTRS turut dinaik taraf dengan sesi dua hala antara guru dan pelajar secara langsung. Tiada lagi alasan bahawa tuisyen itu mahal atau jauh.
Di Selangor, pendidikan berkualiti adalah hak setiap anak-anak kita.



