Inisiatif

Peristiwa
26/1/26
Isu
Selangor
Negara

Pelancaran SEED2030: Pelan Transformasi Agribisnes PKPS 2026–2030

Sejurus selesai Majlis Amanat Tahun Baharu 2026, saya bersama warga Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melancarkan SEED2030: Pelan Transformasi Agribisnes PKPS 2026–2030. Ini merupakan sebuah pelan hala tuju strategik 5 tahun bagi memperkukuh sekuriti makanan Selangor secara menyeluruh, mampan dan berdaya tahan.

Saya merakamkan ucapan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada PKPS kerana menjadi agensi pertama yang tampil melancarkan blueprint strategik sejurus Amanat Tahun Baharu. Ini mencerminkan budaya kerja yang proaktif, berpandangan jauh dan pantas menterjemah aspirasi negeri kepada pelaksanaan yang nyata, selari dengan keperluan dan cabaran semasa.

SEED2030 menegaskan komitmen Kerajaan Negeri bahawa isu makanan bukan sekadar soal pertanian, tetapi teras kepada kestabilan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kesiapsiagaan strategik negeri, khususnya ketika dunia berdepan perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan global dan tekanan kos sara hidup.

Melalui pengukuhan peranan PKPS sebagai agensi pelaksana strategik, pembangunan ekosistem agropeneur, penerapan inovasi dan pendigitalan, serta peluasan inisiatif seperti Ehsan, Jualan Ehsan Rahmah, Gudang Makanan Selangor (GMS) dan Selangor Fruit Valley, kita sedang membina sistem agromakanan yang lebih moden, bersepadu dan inklusif.

Inilah asas kepada Selangor sebagai sebuah negeri yang berdaya tahan (resilient), berkeupayaan mendepani apa jua cabaran, sama ada krisis global, perubahan ekonomi mahupun tekanan masa hadapan.

Setiap transformasi besar bermula dengan satu benih. Apa yang kita tanam hari ini akan menentukan kekuatan, daya tahan dan keselamatan sistem makanan Selangor untuk generasi akan datang.

Insya-Allah, Selangor terus melangkah ke hadapan demi sebuah negeri yang berdaya tahan, berkeadilan dan mampan.

No items found.
Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.