Pelancaran Projek Kompleks Lembu Tenusu PKPS ‘Ehsan Dairy Farm’.
Alhamdulillah, Selangor terus mencatat sejarah dalam aspek keterjaminan makanan dengan pelancaran Projek Kompleks Lembu Tenusu PKPS ‘Ehsan Dairy Farm’.
Majlis Pecah Tanah Projek Kompleks Lembu Tenusu PKPS ‘Ehsan Dairy Farm’ di Ladang PKPS Sungai Tengi seluas 42 ekar telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. Ladang ini akan menempatkan 1,200 ekor lembu baka Jersey-Holstein Friesian (F2) dari Australia.
Dijangka siap awal 2026, projek ini melibatkan lebih 1,000 lembu baka Jersey Holstein Friesian (F2) dari Australia dengan teknologi ladang pintar, mampu menghasilkan 1.8 juta liter susu segar setahun, meningkatkan kadar sara diri tenusu negara dan mengurangkan kebergantungan import.
Dalam ucapan, saya menekankan bahawa Selangor mesti kekal sebagai peneraju sekuriti makanan nasional. Sebagai negeri paling maju dan padat penduduk, Selangor tidak boleh hanya menjadi pengguna, tetapi perlu muncul sebagai pengeluar strategik daripada sawah padi dan kebun sayur, hinggalah penternakan ayam dan ladang tenusu moden yang menyumbang kepada keperluan negara.
Selangor terus memperkukuh sekuriti makanan melalui pelaksanaan Jualan Ehsan Rahmah, pembangunan Gudang Makanan Selangor, projek padi dan jagung, serta pembinaan ladang tenusu moden pertama negeri ini, sejajar dengan Rangka Tindakan Sekuriti Makanan 2021–2025 yang berteraskan Pengeluaran, Pengedaran dan Keterjaminan.
Semoga projek ini menjadi pelaburan jangka panjang yang memperkukuh kedudukan Selangor sebagai peneraju dalam menangani cabaran sekuriti makanan, demi masa depan rakyat, kemakmuran negeri, dan pemanfaatan sepenuhnya potensi tanah, dengan harapan tiada rakyat yang kelaparan, selari dengan cita-cita “Selangor: Peneraju Sekuriti Makanan Negara.”











